Showing posts with label .:i like:.. Show all posts
Showing posts with label .:i like:.. Show all posts
Assalamualaikum wrt wbt.

Tergelak membaca entri lepas yang sungguh emo. Sakit Allah bagi sebab Dia ingat kita leen :)

Hari sabtu lepas, saya berbicara panjang dengan mak, as always. Antara inti perbualan kami adalah tentang sebuah cerekarama baru-Aku Mahu Terbang.

Zaman Form 1-2, drama kungfu petang2 seperti Fong Sai Yuk, Smart Kids menjadi kegemaran saya. Tatkala menginjak ke Form 3, saya tidak pernah melepaskan peluang menonton cerekarama setiap malam sabtu. Ia adalah program wajib dalam jadual setiap malam sabtu. Sama ada cerita komedi yang membuatkan saya tergelak-gelak atau mengkritik penuh suka hati, cerita sedih yang membuatkan lacrimal gland tidak senang duduk, atau cerita keagamaan yang menginsafkan.

Hingga terbang jauh ke bumi Dublin, cerekarama masih menjadi pilihan utama saya :) Mungkin budaya dan isu yang diketengahkan lebih dekat dengan budaya saya dibesarkan. Tertarik dengan cerita mak tentang kesungguhan Akif menunggu cerekarama minggu ini, saya pula jadi tidak sabar-sabar mahu menonton cerekarama tersebut.

Alhamdulillah, tatkala diri sudah sihat dan bersemangat menyeterika baju untuk ke hospital esok, saya terjumpa link cerekarama yang mak cakapkan tu!


"Di balik sebuah mimpi,ada sebuah harapan"

Memang comel, tulus dan penuh pengajaran :) Seorang budak ni,Rezki namanya, sangat fokus dengan cita-cita nak jadi pilot. Semua hobi berkisar tentang penerbangan. Walaupun miskin, pakai kasut koyak ke sekolah dan sering dibuli (pandai sungguh watak pembuli,saya pun rasa nak cubit-cubit je budak2 tu), dia sangat tabah dan positif. Dia berkawan baik dengan kawan sebaya usianya Busran, seorang yang lumpuh. Bus ni memang baik sangat, dia banyak sokong Rezki. Kisah persahabatan dua orang budak ni memang sangat touching, saya yang masih demam pun boleh nangis terharu melihatkan keakraban ukhwah 2 sahabat ni. Di pertengahan cerita, Bus diserang meningitis (xtau viral atau bacterial.dush!) dan akhirnya meninggal. Pada masa yang sama, Rezki dapat keputusan yang baik dalam exam dan masuk sekolah asrama. Dia jadi pelajar yang cemerlang dan rajin. Kehidupan mak dan abangnya di kampung pun semakin baik. Tapi pengarah cerita ni sengaja nak menyedihkan lagi cerita yang sedih. Dalam perjalanan melawat Rezki, abang dan maknya mati dalam kemalangan. Dalam kesedihan yang teramat tu, boleh plak si Rezki ni nak bunuh diri. Kalau cita-cita itu disandarkan kepada makhluk yang mengikut hukum alam~hidup dan mati,maka cita-cita akan lumpuh bila sandaran asbab itu telah tiada. Sebab tu la,kalau buat apa-apa pun, kena masukkan kerana Allah :) Alhamdulillah cerita ini tidak ditamatkan dengan kesudahan yang sedih. Rezki berjaya mencapai cita-citanya untuk terbang! Saya tertarik dengan kata-kata jurulatih Rezki :

"Bila Allah izinkan masalah datang dalam hidup kita, dia mesti jugak hadirkan jawapan untuk masalah itu. Kita jangan gagalkan diri kita sendiri sebelum Allah sempat makbulkan doa kita. Jangan mengalah"


Everything starts from a dream kan? Saya dulu sangat semangat nak jadi doktor. Kalau main doktor2, saya mahu jadi doktor setiap masa. Kalau dipaksa jadi pesakit, mula la menggerakkan 60 otot muka dan mengadu pada mak. Alhamdulillah, dah dapat peluang ni kena gunakan sepenuhnya :) Jangan mengalah,aite?

nota kaki : Akif, sila belajar rajin-rajin kalau nak jadi engineer. Jangan asyik upah Awis buat kerja sekolah je!!
bookmarks: 0 comments | edit post
Assalamualaikum wrt wbt.

Bunga ros merah yang baru dibeli semalam semakin mekar berkembang. Benar kata mak, rasa lebih tenang dan sejuk mata memandang bila bilik dihiasi dengan ciptaan yang sentiasa berzikir memuji Tuhannya. Berpinar-pinar mata memandang nota Orthopedics, rasa segar melihatkan kelopak-kelopak ros itu. Cantik. Dan mengingatkan saya pada mak, abah, Amin, Awis dan Akif. Bila homesick begini, memang hubungan pancaindera dan akal lebih dipesongkan oleh hati. Hati yang rindu. :)

Memang saya rindukan keluarga saya. إِشْتَاقَ أسرتي.

Bercakap tentang usrah yang bermaksud keluarga dalam bahasa Arab, di bumi Shamrock ini kawan-kawan yang menjadi keluarga saya di sini. Susah dan senang dikongsi bersama apatah lagi jika ada cerita yang hanya akan merisaukan mak dan abah jika dimaklumkan kepada mereka. Bukan hendak membelakangkan mereka, cuma kadang-kadang mencari saat yang sesuai. Cuma kalau bab exam dan results, mak dan abah memang orang pertama yang akan saya maklumkan. Well,semua orang pun macam tu kan.

Usrah. Ohana. Relax n recharge. Zaman dulu saya antara golongan yang mahu lari dari usrah. Bukan allergy, tak pernah ada rashes pun bila pergi usrah. Cuma mungkin zaman kanak-kanak yang mahu segalanya dibuat tanpa perlu arahan. Bajet ala-ala dah matang dan boleh berfikir baik buruk. Tak payah jadi baik-baik sangat. Tapi saya juga bukanlah kaki ponteng usrah, saya hadiri semua usrah namun ada di antara dalam keadaan hati terbelah dua,tiga dan empat, berselerak mencari ikhlas. Adakalanya hanya kerana wajib. Tsk tsk tsk.

Bila sedikit membesar, saya rasa saya perlukan usrah apatah lagi tatkala diri jauh dari keluarga. Menghadiri usrah adalah perkara yang saya tunggu-tunggu. Mungkin faktor ahli usrah dan kandungan usrah mempengaruhi tapi saya dapat rasa bezanya jika sudah lama tidak berusrah. Sesi usrah adalah sesi transformation untuk emosi saya-selalunya daripada stress/sedih kepada kembali bersemangat dan riang gumbira. Tambah-tambah lagi di masa-masa begini, ketika saya dan kawan-kawan amat jarang bertemu. Kalau ada pun sekadar sejam dua tatkala hujung minggu menghadiri program. Sudah puas menghadapi seminggu yang mencabar emosi, usrah adalah tempat untuk saya berehat dan berkongsi cerita. Kadang-kadang saya tidak bercakap banyak pun,sekadar menadah telinga dan mengangguk-angguk tapi bila pulang ke rumah, semangat saya bertambah. Saya menanti ummul furqan pembuka usrah minggu seterusnya setiap kali menangguhnya dengan tasbih kafarah dan surah al-asr.

Usrah saya biasa-biasa, bukan selalu membincangkan masalah dunia pun kecuali kalau ada isu-isu semasa yang menarik dan best. Pastinya ada sesi mentadabbur Al-Quran, memperbetulkan bacaan tajwid dan berkongsi pengajaran dan pesanan Allah di dalam kitabNya. Setiap orang pasti melontarkan idea yang membuatkan saya semakin rasa dekat dengan ayatNya. Itu yang saya suka. Ada sesetengah amalan boleh dilakukan secara bersendiri untuk meningkatkan rasa dekat denganNya tetapi ada juga yang perlukan perbincangan dan penelitian secara berkumpulan. Bukanlah semua yang bercakap itu sempurna, tapi saling mengingatkan antara satu sama lain sambil dalam diam-diam lebih kuat berbisik kepada telinga sendiri yang lebih dekat dengan mulut yang berkata-kata. Saya suka.


Bila mana perempuan duduk bersama, mesti akan ada pelbagai cerita yang keluar. Dari sebesar-besar masalah dunia hinggalah seremeh-remeh masalah. Penduduk Planet Venus kan memang suka bercerita. Setiap orang ada masanya untuk bercerita. Kalau tidak memang huru hara Planet Venus kalau semua bercerita pada masa yang sama. Apabila seorang bercerita, yang lain diam mendengar dan ada waktunya sama-sama berbincang mencari jalan keluar. Walaupun tidak disuarakan, kadang-kadang keluhan yang sama ada di dalam hati setiap yang mendengar, tapi sama-sama menasihati dan bertenang. Apatah lagi kalau mereka memenangkan kita dengan memberi peringatan ayat Allah. Saya suka.


Memandangkan saya bukanlah seorang yang gemar mengikuti perkembangan semasa, banyak sungguh cerita yang saya dengar melalui sahabat-sahabat usrah. Lama kelamaan, bila tidak mahu ketinggalan, saya juga sudah makin membiasakan diri mengupdate diri dengan isu-isu semasa. Kadang-kadang berbincang ala menteri. Hehe. Sudah lama rasanya hidup didoktrin dengan cara buka mulut-suap-telan-diam. Sekarang sedikit terbuka minda dengan membanyakkan bacaan dan menyelidiki setiap sumber berita. Cuma selalunya nota Orthopedics pun masih merangkak-rangkak, saya kurang membaca jadi sahabat usrah dan housemates tempat berkongsi cerita. Kawan-kawan di sekolah pun membantu. Yang penting kena kikis sifat aku tak pedulisme. :) Khalifah yang Allah hantar ke dunia tidak berfikir tentang diri sendiri semata-mata. Khalifah=pentadbir alam. Think big!

Dulu usrah hanya sekadar mengisi waktu tapi sekarang saya rasa usrah adalah masa yang saya tunggu-tunggu. Ia benar-benar buat saya relax dan recharge. Sosial dan rohani. Kalau kakak usrah x best, kena la bagi cadangan kalau x memang menahan jiwa la setiap kali menghadiri usrah. Kalau topik yang dibawa tak best, cadangkan tajuk-tajuk yang lebih mantop. Kalau rasa usrah kurang pengisian, kena volunteer diri untuk tambah pengisian. Boleh main netball dengan ahli usrah. Picnic2. Jaulah. Dah nama keluarga kan. Tambah-tambah di tempat orang begini, support system perlu kuat. Kan?

Taaruf. Tafahum. Takaful.

Carilah apa saja wasilah yang mengingatkan kita pada Allah.

"Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga."
(Muslim)

bookmarks: 2 comments | edit post
Assalamualaikum wrt wbt.

Pertamanya, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada notes Forensic yang berjaya membawa saya ke blog ini. Sedar tidak sedar, beberapa minit lepas saya baru terkulat-kulat membelek nota Forensic berkaitan Management of the poisoned patient. Usai menghabiskan nota tersebut, saya tidak tahan untuk meneruskan pembacaan ke nota Drugs of Abuse. Perlukah menghafal setiap drug tersebut? Tatkala bermonolog dalaman, akhirnya jari saya meletakkan highlighter dan beralih ke papan kekunci. Ayuh berkongsi sesuatu tentang PUISI 2010!

Masuk tahun ini,ini merupakan kali ketiga saya menyertai PUISI. Sewaktu di tahun pertama, saya mendaftar ketika masih belum fly ke bumi Ireland pun lagi. Memang berpotensi dapat anugerah peserta paling bersemangat. Tema tahun itu : The Fantastic Four dan penceramahnya Ustaz Zaharuddin. Subhanallah, mantop asas-asas agama yang dibawakan. Tahun kedua, diminta menjadi faci. Bermula dengan perasaan tidak layak, saya menggagahkan diri. Mahu tunggu sampai bila untuk bergelar 'layak'? Tema yang dibawa tahun itu : Generasi Muslim Kaizen. Memang terbabow! Tahun ini?


Setelah 'berbincang secara damai', tema yang dipilih ialah : Kembara Tian Xia! Dengar pun dah gempak kan? Memang, ustaz yang dijemput pun mantoop, Ustaz Zamri Mari Mengaji yang diimport khas dari Malaysia. Penceramah sendiri telah melalui siri pengalaman mengembara Malaysia-London-Cork-Dublin untuk ke Ireland memandangkan salji turun agak lebat dan menyebabkan Dublin Airport ditutup. Beberapa kali ustaz tersadai akibat flight delay namun Allah jua lah yang akhirnya mengizinkan ustaz menjejak kota Dublin ini. Alhamdulillah.

PUISI 2010 : Kembara Tian Xia adalah berpandukan buku 8th Habits oleh Stephen Covey yang diolah oleh Ustaz Zamri dengan memasukkan unsur-unsur Islamisasi. Benar apa yang disampaikan oleh ustaz,

“Hikmah (kebijaksanaan) itu adalah barang ciciran orang-orang mukmin. Barang siapa menjumpainya, maka ambillah ia (hikmah tersebut)”-Hadith

Antara yang dibawakan berdasarkan buku tersebut adalah empat quotient :
1. PQ [physical quotient]
2. IQ [intelectual quotient]
3. EQ [emotional quotient]
4. SQ [spiritual quotient]

Dan turut dibawakan empat elemen bumi yang diwakili oleh setiap quotient :
1. TANAH =PQ
2. AIR = IQ
3. API = EQ
4. ANGIN = SQ

Since PUISI pun beraksi selama 4 hari, mustahil untuk saya memasukkan kesemua intipati ceramah ustaz dalam satu blog entry. Kalau nak tahu semua, no doubt, kena datang ke PUISI :) Tapi saya kongsikan serba sedikit.

Ok, serabut. 8th habit, quotient, element,dan Tian Xia. Don't make sense?

Tian Xia = all under heaven. Pada zaman dahulu, orang China memandang langit sebagai suatu tempat yang penuh misteri dan sesuatu yang tinggi lalu disamakan langit dengan syurga[heaven].

Tian Xia = all under heaven = all under the sky = earth + human

Jadi, apa yang ingin difokuskan di PUISI tempohari adalah penyatuan semua unsur yang berada di bumi iaitu manusia dan alam. Apa unsur yang berada di bumi? TANAH, AIR, API, UDARA. Apa unsur yang ada pada manusia? PQ,IQ,EQ,SQ. Now it makes sense?

MasyaAllah penyampaian Ustaz Zamri juga memang ternyata mantop! Berbaloi kembara Tian Xia ustaz yang bermula sejak penerbangan dari Malaysia serta kembara para peserta yang terpaksa bermalam di airport serta meredah salji untuk tiba di Glandelough. Penempatan sungguh selesa. Dapat mandi air panas setiap hari :) Makanan PUISI memang terbaek! Terima kasih kepada semua team masak yang bersungguh-sungguh menyediakan makanan terbaek! Semoga Allah membalas kebajikan mereka dengan setinggi-tinggi ganjaran.

Jadi, untuk kali ini saya ingin berkongsi kaitan setiap element dengan manusia. Sedar atau tidak, setiap ciptaanNya saling berkait. Subhanallah,Tuhan yang menciptakan!

____________________________________________________________________________________

Apakah itu Physical Quotient?

Physical Quotient adalah satu elemen penting kerana ia berkait rapat dengan fizikal badan, dan memainkan peranan yang penting dalam kesihatan rohani. Ia lebih mementingkan akan kesihatan dan penampilan luaran individu tersebut.
Tanpa physical quotient, kita tidak akan berjaya dalam sesuatu perkara. Sebagai contoh, kita ingin mendaki bukit yang curam. Semangat kita memberikan motivasi untuk terus mendaki samapi ke puncak. Kebijaksanaan kita menyelesaikan masalah untuk mencari jalan yang pantas dan selamat. Akan tetapi, jika badan kita tidak segagah yang diperlukan dan kita tiada disiplin untuk meneruskan usaha, pasti kita tidak akan berjaya mendaki bukit tersebut.

Apa kaitan PQ dengan EARTH?

Earth ataupun merujuk kepada tanah, mempunyai nilai dan ciri-ciri yang sama dengan badan kita. Menurut Islam sendiri pun, jasad kita dihasilkan daripada tanah dan bersesuaian dengan firman Allah :

”Dari tanah kamu dijadikan, kepada tanah kami dikembalikan kamu dan daripada t
anah kami keluarkan kamu.” (Surah Thaha : Ayat 55)

Secara saintifiknya juga telah pun terbukti bahawa kandungan jisim dalam badan kita sama jsimnya dengan kandungan bahan dalam tanah. Perkaitan antara earth (tanah) dan juga fizikal sangat jelas dan terang. Contohnya, jika kita mempunyai sebuah kebun tetapi kita tidak menjaganya dengan baik, bagaimanakah sayur-sayuran/buah-buahan kita hendak tumbuh dengan baik? Samalah dengan badan kita, jika kita tidak menjaganya dengan baik, maka bagaimana kita hendak membesar dengan sihat.

Penjagaan tanah juga haruslah sistematik dan terkawal seperti waktu siraman, kawalan serangga supaya hasil kebun kita tidak rosak. Badan kita juga tidak ada bezanya, kita hendaklah berdisiplin dalam menjaganya seperti waktu makan, waktu senaman, solat dan jauhkan daripada bahaya/ kecederaan.

Konklusi

Disiplin yang diperlukan dalam menjaga keseimbangan antara keterampilan dan kesihatan diri merupakan langkah pertama membentuk individual yang mempunyai habit yang baik. Ingat! Berlian yang cantik juga asalnya dari arang yang telah menerima tekanan yang tinggi.
___________________________________________________________________________________

Apakah yang dimaksudkan dengan Intelectual Quotient?
Intelectual quotient sering dikaitkan dengan kebijaksanaan seseorang. Pass exam with flying colours? Jika itu definisi kita, adakah Rasulullah saw, seorang yang buta huruf mempunyai akal yang rendah? Mustahil! Baginda seorang pemimpin terulung, perancang strategi terbaik, serta pelbagai peranan lain. Jadi sebenarnya, IQ membawakan konsep yang lebih bermakna daripada kejayaan mendapat markah tertinggi di dalam kelas. IQ ialah kebolehan untuk menggunakan akal bagi melakukan sesuatu perkara. IQ membantu kita menetapkan matlamat yang jelas dan fokus. Ingat, imagination is more important than knowledge.

Ok, jadi apa kaitan IQ dan WATER?
Water yang merujuk kepada air mempunyai persamaan dengan pemikiran kita. Sebagai contoh, melalui pembelajaran sains/pengalaman, air akan mengambil bentuk bekas di mana ia diisikan.

Lihat, air benar-benar mengikut bentuk bekasnya. Beginilah pemikiran kita dibentuk oleh persekitaran kita. Tidak salah jika kita sesekali keluar daripada kebiasaan kita [think out of the box] supaya kita dapat melihat sesuatu perkara daripada perspektif yang berbeza.

Air juga boleh berubah warna andai ada bahan luar [exogenous] yang dicampurkan ke dalamnya.

Jadi, jagalah pemikiran anda agar tidak dicemari oleh perkara yang negatif. Tetapi jangan pula takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Yang paling utama, kita tahu membezakan yang haq dan batil.

Ingat! Air mempunyai komposisi besar dalam badan kita iaitu sebanyak 70%. Air ialah molekul yang hidup.

Dan Kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?

(Surah al-Anbiya:30)

Zikir kepada Allah, selawat dan bacaan Al-Quran akan memantapkan molekul air yang terbentuk begitu indah sekali dan anda akan merasakan ketenangan yang hakiki dan amat baik untuk kesihatan fizikal dan mental anda.

Firman Allah : "orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah"

Kesimpulan :
Pemikiran kita dapat dibentuk dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Ia akan mudah terpesong andai kita tidak menyemat tujuan hidup yang utuh dalam diri.

____________________________________________________________________________________

Apa kaitan FIRE dengan Emotion?

Apakah yang dimaksudkan dengan Emotional Quotient?

Emotional quotient sering dikaitkan dengan emosi seseorang individu sebagai reaksi terhadap sesuatu perkara.

Namun kita harus sedar bahawa EMOSI memainkan peranan yang penting di dalam menggerakkan seseorang individu samada menuju kejayaan ataupun sebaliknya.

Bak kata pepatah orang melayu,

Api yang kecil menjadi kawan,

Apabila besar menjadi lawan.

Ok, jadi apa kaitan EQ dan FIRE?

Bayangkan api sebagai semangat kita.

Api yang membara akan memandu seseorang individu menjadi lebih bermotivasi dan seterusnya membuahkan hasil yang bermakna.

Perasaan gembira dan bersemangat ini akan dikongsi bersama rakan-rakan lain dan seterusnya mencetuskan suatu rantaian manusia yang cenderung untuk bekerjasama menghasilkan kejayaan.

Tapi AWAS!

Apabila Emosi negatif menguasai diri,

Semangat yang disalurkan bertukar menjadi perkara yang dibenci dan seterusnya membantutkan potensi sebenar diri.

Emosi yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan buruk kepada orang sekeliling, dan lebih teruk lagi, dikhuatiri boleh member impak kepada pergaulan sehinggalah membinasakan sesebuah institusi.

Firman Allah di dalam surah An-Nisa ayat 104:

Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Kesimpulan :

Emosi yang dikawal dengan baik dan semangat yang positif boleh memberikan kesan yang baik kepada diri dan individu sekeliling. Ia boleh menyuntik semangat individu lain untuk turut sama bergerak di dalam kumpulan demi mencapai satu matlamat yang sama.

Akan tetapi emosi juga perlu dikawal dengan bijak supaya tidak membantutkan potensi diri untuk bergerak ke hadapan dan juga supaya emosi yang negatif itu tidak member kesan buruk ke atas individu lain.

____________________________________________________________________________________

Apa itu SQ?

SQ atau Spiritual Quotient adalah elemen yang terakhir dalam Battle of Element ini. Spiritual Quotient sering dikaitkan dengan rohani kita atau jika diterjemahkan dalam konteks Islam ianya membawa maksud iman kita kepada Allah swt. Pemahaman tentang iman kita terkandung di dalam konsep shahadatain atau kalimah syahadah.

Apa keistimewaan elemen SQ?

Elemen ini boleh dikatakan merangkumi elemen-elemen lain seperti PQ,IQ dan EQ. Kenapa? Kerana elemen inilah yang akan memandu PQ,IQ dan EQ di atas landasan Islam.

Apa kaitan SQ dengan Wind?

Angin adalah satu benda yang abstrak, boleh dirasa tetapi tidak boleh dilihat. Begitu juga dengan keadaan iman atau rohani kita.

Dalam Al-Quran, Allah swt berfirman :

Jika Ia kehendaki, Ia menghentikan tiupan angin, maka tinggalah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.[As-Shura:33]

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya supaya kamu bersyukur.[Ar-Rum:46]

Analogi yang diberikan dalam Al-quran ini cukup jelas. Angin itu adalah pemandu kepada kapal-kapal di lautan. Tanpa angin, kapal layar akan hilang arah tuju.Hidup kita di dunia ini boleh juga diibaratkan sebagai kapal yang berlayar untuk menuju ke akhirat. Iman atau SQ yang baik akan memandu kita ke arah yang benar.

Kesimpulan

Mantapkan rohani kita. Banyakkan amalan agar lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Tidak dinafikan iman itu naik dan turunnya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berdoa agar ditetapkan iman kita di jalan Allah swt ini. Iman itulah yang akan menyatukan kita, tidak kiralah pelbagai latar belakang, warna kulit dan sebagainya.

___________________________________________________________________________________

Subhanallah, kita dan alam benar-benar berhubung kan? Setakat itu untuk hari ini. Nanti apabila bertemu lagi dengan nota yang kurang memberansangkan minat, saya akan menulis lagi tentang ceramah ustaz. InsyaAllah.

Nota metatarsal : Welcome 2011! Semoga bertambah amal dan iman. Terima kasih Allah atas setiap catatan indah di atas kanvas hidup ini.