Showing posts with label .:story of the companions:.. Show all posts
Showing posts with label .:story of the companions:.. Show all posts
Assalamualaikum wrt wbt.

Hari ni agak pening menyiapakan case upload ObsGynae. Dalam waktu rehat mencari nafas yang hampir hilang, teringat kisah Julabaib yang diceritakan time usrah. Breath-taking.

Pada zaman Rasulullah SAW terdapat seorang pemuda Ansar yang kurang menarik raut wajahnya dan tubuhnya agak pendek sedikit. Pemuda yang bernama Julaibib ini, sedang berusaha untuk mencari seorang perempuan yang sesuai untuk dijadikan isterinya tetapi malangnya tidak ada seorang pun yang sudi untuk bermenantu atau bersuamikan Julaibib.

Maka pergilah Julaibib bertemu Rasulullah SAW untuk mengadukan masalahnya itu. Apabila diketahui oleh Rasulullah SAW akan masalah Julaibib, lantas baginda sendiri berusaha mencarikan jodoh buat Julaibib. Maka bertemulah Rasulullah SAW dengan salah seorang sahabatnya dan menyatakan hajatnya,” Wahai fulan, engkau kahwinkanlah aku dengan anak gadismu.” ” Baiklah, aku terima dengan senang hati,” jawab sahabat tersebut. ” Tetapi pinangan ini bukan untuk aku,” kata Rasulullah selanjutnya. “Untuk siapa?”. Pada mulanya dia sangka Rasulullah SAW ingin meminang anaknya untuk dirinya sendiri. ” Untuk Julaibib,” jawab Rasulullah SAW. ” Wahai Rasulullah, kalau begitu berilah aku tempoh agar dapat aku bermusyawarah bersama ibunya dahulu.”

Dia pun segera pulang ke rumahnya. Di dalam hatinya timbul pertanyaan bagaimanakah nanti kalau isterinya menolak hajat Rasulullah. Jika menolak pinangan Rasulullah tentulah tidak baik bagi orang Mukmin. Tetapi kalau dia menerima pun tentu dia teruji dengan bermenantukan Julaibib yang dianggap orang sebagai lelaki yang tidak laku. ” Rasulullah SAW meminang anak gadis engkau,” katanya kepada isterinya sebaik saja dia sampai ke rumah. “Aku terima dengan hati yang terbuka,” sahut isterinya. ” Tetapi bukan untuk beliau…” ” Jadi untuk siapa?” “Untuk pemuda yang bernama Julaibib.” ” Untuk Julaibib. Aku tidak akan mengahwinkan anakku dengan dia, demi Allah,” jawab isterinya dengan tegas sekali. Mendengar itu, dengan segera dia kembali menemui Rasulullah SAW dan menyampaikan penolakan isterinya. Tiba-tiba terjadi sesuatu yang tidak terduga sama sekali.

Rupa-rupanya anak gadisnya sendiri telah mendengar perundingan kedua orang tuanya. Dia kesal kerana kedua ibu bapanya menolak pinangan Julaibib yang bererti menolak ketentuan Rasulullah SAW. “Apakah ibu dan ayah akan menolak keputusan Rasulullah SAW?” Anak gadis itu bertanya kepada kedua ibu bapanya. ” Beritahukan kepada Rasulullah SAW aku menerimanya kerana baginda tidak akan membiarkan aku tersia-sia.”

Demikian yakinnya gadis itu kepada keputusan Rasulullah SAW. Mendengar ketegasan anaknya, sahabat itu pun segera kembali bertemu Rasulullah. ” Permintaan tuan diterima,” katanya kepada Rasulullah. Maka Rasulullah pun segera mengahwinkan Julaibib dengan anak perempuannya itu. ” Ya Allah, limpahkanlah keberkatan ke atas anak gadis ini dengan sepenuhnya dan janganlah Engkau biarkan hidupnya dalam keadaan susah payah,” Doa Rasulullah SAW untuk pasangan pengantin baru itu.

Peristiwa ini sangat besar ertinya sampaikan ahli sejarah tidak menyebut-nyebut nama gadis ini dan orang tuanya, disebabkan ketinggian iman gadis itu menyambut ketentuan Allah dan Rasul-Nya lebih dari kepentingan diri mereka. Julaibib sebenarnya seorang pahlawan ulung walaupun agak hodoh rupanya. Dia akhirnya syahid ketika menyertai peperangan bersama Rasulullah SAW. Baginda sendiri yang menguburkan jenazahnya. Isterinya setelah itu menjadi balu terhormat sepeninggalannya. Kedua pasangan suami isteri ini mendapat penghargaan dari Rasulullah SAW. Julaibib kerana beraninya manakala isterinya kerana nilai imannya yang tinggi. Begitulah tingginya iman gadis tersebut.

Tatkala dia menerima ketentuan Allah dan Rasul-Nya, pandangannya jauh ke depan. Dia tidak sedikit pun buruk sangka dengan Rasulullah SAW yang menjodohkannya dengan Julaibib yang terkenal tiada rupa. Malahan dia sedar, itulah jodohnya yang sesuai buat dirinya. Dia tahu sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dan kasih sayang Allah lebih dari sayangnya seorang ibu terhadap anaknya. Jadi tentulah Allah tidak saja-saja hendak mempersia-siakan hidupnya dengan menjodohkannya dengan Julaibib. Sudah pasti ada hikmah besar di sebalik perkahwinan itu nanti. Sebab itulah dia redha dengan pilihan Rasulullah SAW untuk dirinya.

Begitulah ketinggian imannya, dia menghargai pilihan Rasulullah yang mana dia yakin tentu Rasulullah tidak akan membuatnya terhina dengan mengahwinkannya dengan Julaibib. Demikianlah yang sepatutnya kita contohi. Bilamana ada orang datang meminang, janganlah dipentingkan sangat tentang rupa dan kedudukannya, tetapi utamakanlah tentang akhlak, ilmu dan agama yang ada pada dirinya. Agar dengan itu bukan sahaja dia dapat memberi kebahagiaan di dunia bahkan suami yang beriman dapat membimbing isteri dan keluarganya untuk mencapai kebahagiaan yang lebih hakiki di Akhirat kelak. Hanya rumah tangga yang ditadbirkan oleh orang-orang yang beriman sahaja yang akan aman damai dan harmoni laksana sebuah syurga yang indah. Itulah yang dikataka syurga yang disegerakan.

Apalah ertinya rupa yang cantik dan kedudukan yang tinggi, tapi rumah tangga porak peranda. Suami curang terhadap isteri, manakala isterinya juga bermain kayu tiga di belakang suami. Apalah yang dibanggakan dengan harta kekayaan yang melimpah ruah tetapi hati tetap tidak senang malah selalu bimbang dan cemas kerana diburu orang ke mana pergi. Memadailah rezeki yang sedikit yang Allah kurniakan tetapi berkat. Memadailah dengan suami yang dijodohkan tiada rupa asalkan suami tersebut dapat memberi kebahagiaan di dunia dan lebih-lebih lagi Akhirat.


Mulianya hati perempuan tersebut yang masih memilih Julabaib walaupun ibunya sendiri mempersoalkan keputusannya itu.

Yang penting amalan, bukan paras rupa. Remember?

Assalamualaikum wrt wbt.

Hari ini saya mendengar seseorang menceritakan tentang kisah Jaafar bin Abi Talib. Too bad, saya sangat mengantuk dan tidak mampu fokus. Pulang ke rumah, saya qada' kisah yang saya terlepas itu. Allahu,kerdilnya diri. Baru menghadap ObsGynae dan beberapa halangan lain sudah bergudang-gudang keluhan dan rasa putus asa. Orang Islam kena berani! Yosh!

Jom buat kempen satu hari satu sirah. Boleh spend masa menghadap facebook lama-lama melihat kisah orang lain, apa dapat? Jika ingin ditunjukkan jalan yang lurus dan benar, kenalah ambil contoh daripada golongan yang mendapat cinta Allah. Plus, ada la idea nak buat bedtime story dengan anak-anak nanti insyaAllah. Let's!

Peperangan Di Medan Mauta. Menyaksikan Tentera Islam 3,000 menentang Tentera Kristian Rom 200,000

Kebanyakan surat-surat yang dikirimkan oleh Rasulullah S.A.W kepada beberapa orang raja adalah bertujuan supaya mereka memeluk agama Islam. Salah seorang yang dihantarnya ialah Raja Busra, surat kepada raja ini dihantar oleh Haris bin Umar Azdi r.a. Apabila sampai di Mauta, beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, yakni salah seorang Gabenor Qaisar. Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Haris Bin Umar r.a. adalah utusan untuk menyampaikan surat.

Rasulullah S.A.W sangat dukacita atas kematian Haris, lalu beliau mengumpul seramai 3,000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh yang jahat itu. Rasulullah S.A.W melantik Zaid Bin Harith sebagai Ketua Pasukan.


Kemudian baginda bersabda kepada para pejuang yang akan ke medan pertempuran,
" Sekiranya Zaid terbunuh maka Jaafar Bin Abi Talib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Jaafar juga terbunuh, maka Abdullah Bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranya Abdullah juga terbunuh, maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu yang kamu kehendaki."


Seorang Yahudi yang kebetulan berada di situ berkata, "Pasti ketiga-tiga mereka ini akan terkorban, kerana itu adalah lumrah sebagaimana para Nabi yang terdahulu selalu meramalkan."

Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke medan pertempuran, Rasulullah S.A.W memberikan sehelai bendera putih yang diperbuat sendiri oleh Rasulullah S.A.W kepada Zaid. Rasulullah S.A.W menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar Kota Madinah dan beliau berdoa, " Semoga Allah S.W.T akan mengembalikan kamu semua dengan selamat dan memperoleh kejayaan. Semoga Allah memelihara kamu semua dari segala kejahatan."

Setelah Rasulullah S.A.W selesai berdoa, Abdullah Bin Rawahah menyampaikan tiga rangkap syair yang bermaksud, " Aku hanya menginginkan keampunan terhadap segala dosa-dosa dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar seperti air yang mengalir keluar dari mata air...atau sebilah tombak untuk menembusi masuk ke liang hatiku dan isi perutku...dan ketika insan-insan melalui tepi kuburku, mereka akan berkata, semoga engkau telah gugur kerana Allah.. berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur. "

Pihak musuh pula diketuai oleh Sarjil. Mereka telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam. Sarjil mengumpulkan 100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang untuk menghadapi serangan tentera Islam. Ketika Sarjil dan bala tenteranya hendak mara, dia mendapat tahu bahawa Qaisar sendiri sedang mara dengan satu batalion tentera yang terdiri 100,000 orang untuk menolong Sarjil. Apabila berita ini sampai kepada para sahabat yang sedang dalam perjalanan untuk berperang dengan pihak musuh, mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir sama ada untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang itu, atau pun tidak. Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah S.A.W untuk mendapatkan nasihat.

Dalam ragu-ragu itu, Abdullah Bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang, "Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua. Apakah tujuan sebenar kamu datang ke sini? Bukankah kamu semua datang ke sini untuk MATI SYAHID. Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T ke atas setiap kita pejuang-pejuang agama-Nya. Kita hendaklah mempastikan salah satu antar dua, Kemenangan atau Syahid."


Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata semangat dari Abdullah Bin Rawahah, maka para sahabat pun beriktikad untuk bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan perang Mauta.

Apabila sampai di medan pertempuran, Zaid r.a. mengenggam bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran. Maka berlakulah pertempuran yang sengit di antara tentera Islam dengan tentera Kristian. Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu.

Sarjil telah mengirim berita kepada Qaisar tentang masalahnya dan meminta bantuan tentera, maka Qaisar pun menghantar tentera yang gagah berani seramai 200,000 untuk membantu Sarjil. tentera Islam tetap bertarung dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza dari tentera Islam yang cuma 3,000 orang sahaja. dalam pertempuran yang sengit itu, maka syahidlah Zaid (AllahuAkbar), Ketua Panglima tentera Islam.

Jaafar r.a. mengambil alih sebagai ketua dan menggenggam bendera. Beliau dengan sengaja melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan medan pertempuran itu. Dalam peperangan yang sedang rancak berjalan itu, Jaafar membaca beberapa ungkapan syair. " Wahai Manusia ! Betapa Indahnya Syurga. Dan betapa gembiranya tentang kehampiran! Kecelakaan orang-orang Rom berada di dalam genggaman tangan, aku mesti hapuskan mereka semua."

Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran di sebelah tangan, dan sebelah tangan lagi beliau memegang pedang, beliau terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak, beliau tetap memegang kuat dengan mengigit bendera dengan bantuan kedua belah bahunya yang telah kudung. darah mengalir seperti air paip, datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Jaafar sehingga terbelah dua, dan syahidlah Jaafar r.a (AllahuAkbar). Umur Jaafar r.a. ketika itu ialah 33 tahun.

Abdullah Bin Umar r.a. menceritakan, " Ketika kami mengangkat beliau keluar dari medan pertempuran, kami mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau."

Sewaktu Jaafar r.a. terbunuh, Abdullah Bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan peperangan, beliau sudah tiga hari kelaparan. Sebaik sahaja beliau mendengar tentang kematian Jaafar, dengan segera beliau mencampakkan daging dengan berkata, "Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedang Jaafar telah sampai ke Syurga." (AllahuAkbar)

Tanpa membuang masa, Abdullah Bin Rawahah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh. Dalam pertempuran itu anak-anak jarinya banyak yang parah dan tergantung isi. Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya. Kemudian beliau terus mara dan beliau berhenti sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbanding tentera musuh yang ramai. Dalam tengah berangan-angan itu, dia tersentak dan berkata dalam hatinya, " Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian? Adakah keran cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga. Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua. Adakah keran kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sedekah"

Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata, "Kamu tidak dapat tidur dan makan kerana kelaparanmu selama tiga hari."

Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau telah mendengar laungan musuh di salah satu sudut medan pertempuran, beliau melempar daging tersebut, dengan pedang yang terhunus, beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau Syahid di medan pertempuran itu. (AllahuAkbar)

Ini harga untuk syurga. Di mana kita?