Assalamualaikum rakan-rakan

Alhamdulillah. Pagi ini suram. Cuaca sedikit mendung, tidak sedar jam telah lama menginjak ke jam 9. Hari ini saya rasa lebih segar setelah 'berehat' agak lama semalam. Alhamdulillah, Allah masih meniupkan roh ke dalam jasad untuk kembali bekerja pada hari ini. Jazakillah kepada adik junior saya yang menyediakan menu sarapan pagi yang cukup mengingatkan saya kepada tanahair. Sedap,nasib baik tak pedas. Saya beri peluang untuk diri keluar dari kepompong bilik setelah seharian bersilat dengan notes. Terima kasih Allah.

Kepulangan saya kembali ke bilik disapa oleh sahabat yang telah sekian lama tidak bersua, Maznah. Bukan hati tidak rindu, apatah lagi lupa pada persahabatan. Cuma, masa tidak mengizinkan. Barangkali memberi lebih kesempatan untuk sekadar bertemu di dalam doa. Rupa-rupanya dia membawa khabaran yang bagiku cukup mengejutkan. Sekali lagi Allah menunaikan janjiNya

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan di masukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” [Al-Ankabut:57]

Kali ini seorang lagi sahabat saya diuji dengan berita kematian ibunda yang tercinta. Allahuakbar.Terasa tersentap seketika tatkala menerima perkhabaran tersebut. Semoga Allah mengurniakanketeguhan jiwa buat sahabat saya yang seorang ini. Allah, kuatkan hatinya, tabahkan jiwanya dan berikanlah petunjuk kepada sahabat saya Ilya.

ALLAH. Perkara yang sama akan berlegar di benak saya setiap kali mendengar berita seumpama itu. Bagaimana jika perkara tersebut terjadi kepada saya? Mampukah saya menggalas beban seberat itu? Janji Allah tak mungkin mampu saya dustakan. Moga Allah beri saya kekuatan saat tiba waktu itu. Amin...

Jambatan [Penang Bridge] ini sedikit sebanyak mengingatkan saya pada rumah.

Seperti biasa, saya menggunakan khidmat haji Google untuk mencari artikel mengenai kematian. Tak sangka saya terjumpa Facebook yang didedikasikan untuk memperingati kematian. Subhanallah. Inilah yang dinamakan aplikasi teknologi.
MAri berkongsi tentang kemungkinan pengakhiran hidup kita. Ada dua macam akhir hidup, iaitu akhir hidup yang baik atau HUSNUL-KHATIMAH dan akhir hidup yang buruk atau SU`UL-KHATIMAH.


HUSNUL-KHATIMAH adalah akhir kehidupan seseorang yang beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta`ala dan percaya pada hari berbangkitnya manusia dengan bermodalkan taqwa.
Kriteria yang ditetapkan :
1) Menjauhi larangan-Nya
2) Tidak jemu dalam mengerjakan perbuatan baik dan tidak menyombongkan amal baik kita.
3) Menjauhi kemaksiatan

SU`UL-KHATIMAH ialah apabila sewaktu akan meninggal dunia seseorang didominasi oleh perasaan was-was yang disebabkan keragu-raguan atau keras kepala atau ketergantungan terhadap kehidupan dunia yang akibatnya ia harus masuk ke neraka secara kekal kalau tidak diampuni oleh Allah Subhanahu Wa Ta`ala.
Faktor Penyebab Seseorang Itu Tergolong Dalam Golongan Yang Mendapat Su'ul khatimah:
1) Mengabaikan ibadat sembahyang
2) Minum arak
3) Derhaka kepada ibu bapa
4) Menyakiti orang Islam
5) Memecahbelahkan kaum muslimin
6) Suka mengurangi timbangan
7) Suka mengaku sebagai wali Allah


Adab Supaya Dikurniai HUSNUL-KHATIMAH:

1) Sebaik-baik umur adalah umur yang panjang dan penuh dengan amal soleh. Dan seburuk-buruk umur menurut Allah Subhanahu Wa Ta`ala adalah yang panjang umurnya tetapi diisi dengan dosa dan maksiat kepada Allah Subhanahu Wa Ta`ala.

2) Keadaan di akhir hayat seseorang bergantung kepada amalan sehari-hari. Oleh kerana itu, isilah hari-hari kita dengan selalu meningkatkan iman dan amal soleh. Kurangkan perkara laqa ye cik leen.

3) Berusaha untuk selalu meningkatkan ibadah fardhu dan sunat, maka perlu memperbanyak amalan ihsan, iaitu amalan yang memberi kebaikan kepada orang banyak, baik berupa ajakan untuk kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta`ala (dakwah ilallaah), menyebarkan ilmu, menyebarkan kasih sayang, menyebarkan amal saleh, dan selalu tawa shaubil wa tawaa shaubish-shabr.

4) Tidak meminta mati kecuali kerana telah terjadi fitnah yang mengancam keselamatan diri dan agamanya.

5) Jangan sekali-kali berfikir untuk mengakhiri hidup dengan jalan pintas kerana adanya tekanan hidup yang berat. Orang yang mengakhiri hidupnya dengan jalan pintas (bunuh diri) tidak akan diterima amalnya dan dipastikan dia akan masuk neraka.

6) Ajal adalah sebuah misteri, merupakan rahsia Allah Subhanahu Wa Ta`ala. Boleh datang secepat kilat, atau tidak kunjung tiba walaupun telah dinanti-nantikan setiap saat. Namun jika ajal telah datang, tidak dapat ditunda atau dipercepatkan walaupun sedetik.

7) Berdoa untuk dijadikan orang yang HUSNUL-KHATIMAH pada setiap akhir solat fardhu.

8) Selalu menumbuhkan perasaan khauf dan rajaa (takut dan harap), iaitu takut akan tidak diampuninya dosa-dosanya dan berharap bahwa Allah Subhanahu Wa Ta`ala itu Maha Rahman dan Rahim yang akan selalu memberikan rahmat kepada orang-orang yang dikehendakiNya.

9) Ketika sudah ada tanda-tanda akan dipanggil oleh Allah Subhanahu Wa Ta`ala, perbanyaklah membaca kalimat thayyibah, kerana siapa yang ucapan terakhirnya adalah Laa Ilaaha illallah orang itu dijamin masuk syurga.

Ingatlah kematian. Demi Dzat yang nyawaku berada dalam kekuasaan-Nya, kalau kamu mengetahui apa yang aku ketahui, niscaya kamu akan tertawa sedikit dan banyak menangis. (Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam)


Doa Amalan

هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ"
Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh" (Q.S. Asy-Sy`araa: 83)

اللهم اجعل خير عمري أخره و خير عملي خواتيمه و خير أيامي يوم لقائك
"Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada hujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan (jadikanlah) sebaik-baik hariku iaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat)"(H.R. Ibnus Sunny)

اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة"
Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan akhir yang baik, dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan akhir yang buruk"


Sehalus-halus kehinaan di sisi Allah adalah tercerabutnya kedekatan kita denganNya. Awalnya terlihat dari menurunnya kualiti ibadah. Ilmu yang dapat membuatnya takut kepada Allah tidak bertambah. Maksiat pun mulai dilakukan. Kalau ibadah sudah tercerabut satu persatu, maka inilah tanda mulai tercabutnya hidayah dari Allah. Nauzubillahiminzalik...
Renung-renungkan dan selamat beramal.

bookmarks: 0 comments | edit post
Tertarik dengan artikel yang baru saya baca di internet. Dalam ke'mamai'an menghabiskan bacaan nota Neuroanatomy yang sangat menarik untuk dipelajari tapi memeningkan untuk dihafal, saya ingin berkongsi dengan anda semua kelebihan solat berjemaah. Meskipun tatkala kita semua sedang sibuk berjihad menhadapi exam yang bakal tiba, janganlah dilupakan solat jemaah. Kesibukan bukan alasan yang baik sebagai jawapan di hadapan Rabb nanti. Sedangkan dalam kesibukan berstrategi tentera Al-Fateh menakluk Constantinople pun mereka masih teguh menghidupkan solat jemaah, apatah lagi kita yang hanya berjihad dalam keadaan condusive malah kadangkala di dalam duvet yang selesa. InsyaAllah pastinya ada keberkatan untuk masa yang kita invest di jalanNya. Kita berbicara tentang business yang tidak mungkin bertemu rugi sebagai penghujungnya. Salam mujahadah!



Rugi tak rebut ganjaran berlipat ganda bersolat jemaah
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Pahala diukur ketika mula berwuduk hingga selesai menunaikan sembahyang di masjid. PEMBINAAN masjid yang besar demi memenuhi keperluan beribadat umat Islam sayangnya tidak menzahirkan gambaran diharapkan apabila jumlah mereka yang bersolat secara berjemaah tidak sepadan dengan keluasan masjid itu. Ada masjid yang boleh menampung ribuan jemaah tetapi apabila tiba waktu solat fardu, bilangan jemaah hanya sekadar dua atau tiga saf saja sedangkan solat secara berjemaah memiliki pelbagai keutamaan besar dan menyeluruh.

Pahala bagi orang bersolat berjemaah bermula ketika dia berjalan keluar rumah menuju masjid hinggalah selesai menunaikan solat secara berjemaah. Bukan setakat itu saja, bahkan ia berlanjutan sehingga dia tiba di rumahnya dari masjid. Banyak keutamaan solat berjemaah antaranya keutamaan ketika perjalanan ke masjid. Bekas perjalanan bagi mereka yang menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah akan dihitung dan dibalas dengan ganjaran pahala.

Daripada Jabir bin ‘Abdullah, dia berkata: “Bani Salimah ingin berpindah supaya lebih hampir dengan masjid, lantas menyatakan bahawa tempat itu banyak kosong. Maka sampailah berita itu kepada Nabi SAW lalu, Baginda bersabda: Hai Bani Salimah! Tetaplah di rumah kalian, sesungguhnya akan dicatat bekas perjalanan kalian (ke masjid). Mereka berkata: Tidaklah menyenangkan bagi kami, kalau kami berpindah.” (Hadis riwayat Muslim)

Tambahan lagi langkah perjalanan menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah itu dapat menghapuskan dosa dan meninggikan darjat seseorang manusia di sisi Allah.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah kalian aku tunjukkan atas sesuatu yang mana Allah akan menghapuskan dosa dengannya dan terangkat beberapa darjat? Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Sempurnakanlah wuduk pada saat cuaca sangat dingin, perbanyakkanlah melangkah menuju masjid, dan menunggu selepas solat. Demikianlah itu bagi kalian pertalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang keluar menuju masjid dalam keadaan berwuduk untuk mengerjakan solat berjemaah akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan juga dianggap melakukan solat daripada permulaan perjalanannya hingga dia kembali ke rumahnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah daripada Abu Umamah yang bermaksud:

“Barang siapa keluar dari rumahnya dalam keadaan suci (berwuduk) menuju solat wajib (dengan berjemaah) maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan haji dengan memakai ihram.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Allah juga menyediakan syurga bagi orang yang pergi dan pulang dari masjid. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kedua ialah keutamaan ketika berada dalam masjid dan mengerjakan solat secara berjemaah. Adalah menjadi lumrah bagi kebanyakan insan untuk berasa bangga jika menjadi tetamu kepada orang kenamaan seperti Sultan atau Perdana Menteri. Namun, begitu ramai kurang memahami dengan menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat secara berjemaah kita sebenarnya sedang menjadi tetamu Allah. Masjid adalah rumah Allah dan tentu sekali sebagai tuan rumah, Allah memuliakan tetamu-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dalam rumahnya dan menyempurnakan wuduknya kemudian pergi ke masjid maka dia adalah tetamu Allah dan kewajipan bagi yang dikunjungi untuk memuliakan yang mengunjungi.”

Apabila seseorang itu berada dalam masjid untuk menunggu masuknya waktu solat sesungguhnya dia mendapat pahala seperti berada dalam keadaan bersolat di sisi Allah dan malaikat pula sentiasa mendoakan keampunan serta rahmat baginya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang daripada kalian yang menunggu waktu solat, (dia berada) dalam solat selama tidak batal, maka malaikat mendoakan baginya: Ya Allah, ampunkan dia, ya Allah rahmatilah dia.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengerjakan solat berjemaah memiliki keutamaan berlipat ganda jika dibandingkan solat sendirian.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat berjemaah lebih utama jika dibandingkan dengan solat sendirian dengan 27 darjat.” (Hadis riwayat Bukhari)

Di samping itu, keutamaan solat berjemaah juga bertambah dengan jumlah orang bersolat. Semakin ramai makmum maka semakin tinggi nilai pahala diperoleh oleh semua makmum.

Daripada Ubai bin Ka’ab, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya solat seseorang bersama seseorang lebih utama daripada solatnya sendirian, dan solatnya bersama dua orang, lebih utama daripada solatnya dengan seorang dan jumlah yang lebih banyak, maka itulah yang lebih disukai oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Allah juga memberi perlindungan daripada syaitan kepada mereka yang mengerjakan solat berjemaah.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu bagaikan serigala bagi manusia seperti serigala bagi kambing, yang menjadikan kambing yang di dalam keadaan sendirian dan lalai sebagai mangsa, maka waspadalah kalian daripada bersendirian dan wajib bagi kalian untuk berjemaah dan pergi ke masjid.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sesiapa yang mendapatkan takbir yang pertama bersama imam selama 40 hari berturut-turut maka Allah membebaskannya daripada api neraka dan kemunafikan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang solat kerana Allah selama 40 hari di dalam jemaah dengan mengikuti takbir yang pertama, ditulis baginya dua kebebasan, iaitu bebas daripada api neraka dan kemunafikan.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Keutamaan solat berjemaah ada yang berlanjutan sehingga tiba di rumah seperti pahala banyak dan disediakan tempat baginya di syurga.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kalian berwuduk di rumahnya kemudian datang ke masjid adalah dia berada dalam solat sampai dia pulang.” Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan dan keutamaan solat jemaah yang menjanjikan banyak kebaikan sewajarnya menjadi aspirasi bagi kita semua untuk mengerjakan solat secara berjemaah.

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd.

bookmarks: 0 comments | edit post
"....Kini kalian berkumpul kerana kesatuan hati pada mencari keredhaan , keberkatan dan kerahmatan Allahul Karim. Kerana kini, kalian kembali pada kemahuan akan kebaikan, kempunan akan kekayaan ilmu kefahaman dan kefaqehan pada kejadian. Kini kuseru kalian agar keluar dari kekusutan, kikiskan kesumat dan kalihkan kekeruhan. Kunasihatkan moga kalian kukuhkan keazaman, kuatkan keinginan, kemaskan kelakuan, kentalkan kesabaran, kayakan kefahaman dan kerahkan kekuatan. Kawan-kawanku, kembalikan kegemilangan kita. Kerana kesimpulannya, kita kena kembali kuat, kerana adanya kaum yang kuat, ketegarlah kemakrufan dan kecundanglah kemungkaran. ..."

bookmarks: 0 comments | edit post



Photobucket


Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. setelah berhijrah ke Madinah melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharram. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada mereka: “Hari apakah ini yang kamu berpuasa padanya?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari yang agung. Hari ini Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Musa berpuasa pada hari ini sebagai syukur kepada Allah. Lalu kami turut juga berpuasa.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kami lebih layak mengikuti Musa dari kamu.” Lalu Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang Islam yang lain juga berpuasa.

Puasa Asyura’

Sebahagian umat Islam di Malaysia mungkin lebih mengenali bubur asyura dari puasa Asyura’. Di Malaysia juga mungkin lebih masyhur cerita bahawa Nabi Nuh a.s. dan beberapa orang beriman sesudah diselamatkan oleh Allah dari banjir besar, mencampurkan semua makanan yang ada pada mereka (ada yang menambah; dengan daun-daun dan dahan-dahan kayu) lalu mereka memasak bubur asyura. Konon untuk menghidupkan sunnah tersebut, maka masyarakat kita mengamalkan memasak bubur asyura pada waktu-waktu tertentu (tapi tanpa daun dan dahan kayu).

Sebenarnya ada dua peristiwa besar yang diriwayatkan dengan riwayat yang sahih berlaku pada 10 Muharram; kematian Firaun setelah tenggelam di Laut Merah dan pembunuhan Husain bin Ali r.a. pada Jumaat 10 Muharram 61 Hijrah di Karbala’. Kedua-dua peristiwa ini adalah peristiwa penting. Tetapi sunat berpuasa pada 10 Muharram (hari Asyura) hanya berkait dengan peristiwa kemusnahan Firaun sahaja dan tidak ada sebarang kaitan dengan pembunuhan Husain r.a. di Karbala’. Syiah memperingatinya setiap tahun dan melakukan amalan-amalan bid’ah sempena tarikh tersebut. Tetapi ajaran sunnah yang sebenarnya adalah disunatkan berpuasa sempena memperingati peristiwa Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dari buruan Firaun tanpa dikaitkan sedikit pun dengan peristiwa pembunuha Husain r.a.

Imam Ibnu al-Qayyim menyebut di dalam Zadul Ma’ad:

“Puasa Aasyura ada tiga darjat:

Berpuasa 9, 10 dan 11 Muharram. Ini yang paling sempurna.

Berpuasa 9 dan 10 Muharram. Ini yang paling banyak disebut di dalam hadis.

Berpuasa 10 Muharram sahaja.”

Disunatkan berpuasa 9 dan 11 Muharram agar ibadah kita sebagai umat Islam berbeza dengan ibadah orang-orang Yahudi yang berpuasa pada hari 10 Muharram sahaja. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim: “Jika aku masih lagi hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa juga pada hari 9 Muharram.”

Puasa Asyura’ adalah di antara puasa-puasa yang afdhal. Ada ulama’ yang berpendapat bahawa sebelum para sahabat r.a. diwajibkan berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadhan, mereka telah diwajibkan terlebih dahulu berpuasa pada 10 Muharram. Mereka juga membiasakan anak-anak mereka untuk berpuasa pada hari Asyura’.

Bukhari meriwayatkan dari ar-Rabi’ binti Muawwidz r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pergi ke perkampungan Ansar pada hari Asyura’ dan bersabda: “Sesiapa yang telah makan pada hari ini, jangan lagi makan sehingga habis siang hari ini. Sesiapa yang berpuasa, teruskan berpuasa.” Ar-Rabi’ r.a. berkata: “Kami berpuasa pada hari itu dan menyuruh anak-anak kami berpuasa. Kami mereka untuk mereka permainan. Apabila ada yang menangis meminta makanan, kami akan lekakan dia dengan permainan itu sehingga berbuka.”

Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tobroni: “Tidak ada hari yang afdhal berpuasa melebihi hari-hari di bulan Ramadhan dan hari Asyura’.”

Kemusnahan Firaun

Firaun musnah pada hari itu. Dia adalah insan yang diabadikan kisahnya di dalam banyak ayat di dalam al-Quran dan dijanjikan oleh Allah akan diselamatkan jasadnya. Allah berfirman:

“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. (Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?” Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terselamat dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!” (Yunus: 90-92)

Di Mesir ada satu muzium khas menyimpan khazanah dinasti Firaun yang dikeluarkan dari piramid-piramid dan kuil-kuil Firaun. Di dalam muzium tersebut ada ruang khas ‘The Royal Mummies’ atau Mumiyat Malakiah. Masuk muzium tu kena bayar. Masuk ruang khas tersebut kena bayaran lain. Di dalam ruang khas tersebut ada lebih kurang 9 mumia yang diambil dari piramid-piramid. Salah satunya Ramses II atau Ra’mases II. Dipercayai itulah Firaun yang memburu Nabi Musa a.s. ketika beliau a.s. membawa keluar 60,000 Bani Israel keluar dari bumi Mesir dan kemudian mati tenggelam di Laut Merah. Lihatlah gambar di atas. Menakjubkan. Di antara 9 mumia tersebut, dialah yang paling sempurna.

Saya tiba di Mesir pada awal 1991 tetapi kali pertama pergi ke Dataran Piramid Giza pada musim panas 1993. Itu pun bukan kerana ingin melihat piramid tetapi kerana nak naik kuda. Tidak ada tarikan untuk ke piramid. Tetapi saya masuk ke ruang ‘The Royal Mummies’ sebanyak dua kali sepanjang saya belajar di Mesir. Pada tahun 2004, semasa saya dan keluarga menziarahi Mesir semula, saya ajak isteri lagi sekali ke muzium.Tarikannya kuat; nak ‘jumpa’ Ramses II. Memang menarik. Rambutnya masih ada. Raut mukanya nampak sempurna. Telinga dia. Hidung dia. Saya pergi tengok dekat-dekat jari dia; masih ada jalur-jalur. Semuanya nampak hebat. Ini janji Allah.

Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terselamat dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar)….”

Firaun adalah gelaran kepada raja Mesir. Semua Firaun mengaku diri mereka tuhan. Tetapi Ramses II tidak begitu. Dia mendakwa dirinya ‘akulah tuhanmu yang paling agung’ (An-Naziaat: 24). Dia juga berkata kepada kaumnya ‘Wahai kaumku! bukankah kerajaan negeri Mesir ini, aku yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? tidakkah kamu melihatnya?’ (Az-Zuhruf: 51).

Saya pernah terbaca di dalam sebuah buku yang saya sendiri tidak pasti sumbernya; Ramses II adalah seorang lelaki yang cukup sempurna. Tampan bergaya. Gagah perkasa. Kaya raya. Ada karisma. Mampu menakutkan musuhnya. Sihat wal afiat. Tidak pernah demam. Tidak pernah bersin. Dia dan Firaun yang mengambil Nabi Musa a.s. sebagai anak angkat; ada pendapat yang mengatakan bahawa mereka adalah orang yang sama dan ada yang mengatakan mereka adalah dua orang yang berbeza. Tapi zalim yang tidak ada had. Kesudahannya hanya seperti dalam gambar di atas.

Ketika Bani Israel buntu, tidak jumpa cara untuk keluar dari penindasan Firaun, Allah menyelesaikan kebuntuan itu dengan cara yang cukup menakjubkan. Firaun memelihara orang yang akan mengalahkannya di dalam istananya sendiri. Ketika diburu dan terperangkap di pantai Laut Merah, sekali lagi Allah menyelesaikan kebuntuan itu dengan membelah Laut Merah. Selain dari itu banyak lagi kisah-kisah menarik berkenaan pertembungan Nabi Musa a.s. dan Firaun. Ini semua adalah kisah-kisah yang sepatutnya kita kenang kembali di hari 10 Muharram.

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu. Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; Dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul kami. Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; Sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.” (Al-Qosos: 5-8)

Moga kita semua dapat menjalani ibadah puasa Asyura’ dan mengambil iktibar dari kisah Musa a.s. dan Firaun.

bookmarks: 0 comments | edit post