Assalamualaikum wrt wbt.

Usai mengemas rumah yang agak tidak tersusun seminggu dua ini, saya membelek Facebook yang kini menjadi sumber saya untuk mencari video atau tazkirah menarik. Terjumpa dengan gambar Ustaz Don yang segak bergaya mengenakan sut kot dan kemeja. Teringat dengan video yang telah sekian lama ter'pending' di dalam Watchlater akaun YouTube saya.


Peringatan yang sungguh cantik dan kena pada masanya. Untuk rujukan saya sebagai anak pada masa kini, dan bakal ibu pada masa depan insyaAllah.

1. Memandikan Mayat

Salah satu daripada mandi yang diwajibkan ialah memandikan mayat dan adalah fardu kifayah dan disyaratkan :

1. Mayat itu mayat orang Islam.

2. Mayat itu ada tubuh walau sedikit sekalipun.

3. Mayat itu bukan mati syahid ma’rakah.

Cara Memandikan Mayat

Sebelum seorang mayat dimandikan perlu disediakan lebih dahulu beberapa perkara supaya setelah dimandikan dapat di kapan kemudian di sembahyang dan dibawa ke kubur untuk disemadikan (dikebumikan) tanpa kelengahan lagi itu :

Disediakan air mutlak secukupnya.

Air daun bidara atau sabun mandi.

Air kapur baruh. Ketiga perkara ini alat untuk memandikan mayat.

Kain kapan secukupnya.

Kapas satu bungkus.

Air mawar.

Serbuk pewangi (debu kayu gaharu atau lainnya).

Pengusung mayat (keranda).

Kayu tudung liang lahad atau lung.

Kain untuk tudung keranda atau pengusung untuk diusung ke kubur.

Ugupan (kemenyan) dan bekas bara api.

Setelah semua perkara di atas sudah ada dan orang yang hendak sembahyang pun ada, mayat dibawa masuk ke bilik mandi atau di mana-mana tempat yang sesuai untuk dimandikan mayat, mula-mula :

Disalinkan pakaiannya (pakaian-pakaian basahan).

Diletakkan di atas tempat tinggi atau diriba oleh keluarganya. Dan orang yang memandikan mayat seelok-eloknya memakai sarung tangan.

Dibersihkan najis pada tubuh jika ada.

Dihilangkan perkara yang menegah sampai air ke seluruh badannya.

Diangkatkan sebelah atas tubuhnya (sebelah kepala) dan disandarkan punggungnya ke paha atau sesuatu. Dan diurutkan atas perutnya kemudian ditekan sedikit dengan perlahan-lahan supaya keluar kekotoran yang patut keluar dari duburnya (Nguwam) kemudian dibasuh duburnya seperti biasa.

Mayat ditelentangkan, dimandikan dengan air mutlak meratakan tubuhnya dan digosok, seperti mandi wajib daripada janabat, haid atau sebagainya, supaya meratai air ke seluruh badan termasuk celah-celah paha. Lipatan-lipatan dan sebagainya.

Disugikan mulutnya dengan benda lembut seperti kain putih yang disediakan khas baginya dan dicungkilkan di celah-celah kuku jika perlu, dan diselati celah-celah jari atau janggutnya jika ada dan perlu disisir rambutnya.

Kemudian dibalik badannya sebelah kanan ke atas sebelah kiri ke bawah dicucur air mutlak, digosok-gosok dan dicucur air hingga rata.

Dibalik pula tubuhnya. Supaya sebelah kiri ke atas dan sebelah kanan ke bawah dan dicucuri air supaya meratakan semua tubuhnya. Semasa melintang, menyenggeng hendaklah digosok tubuhnya supaya hilang segala kekotoran dan disertakan dengan air daun bidara atau kapur baruh atau sabun bagi memudahkan hilang kekotoran daki jika ada.

Sekali rata semua tubuh sekali. Kemudian dicucur lagi hingga tiga kali rata air rata, kemudian dicucur air daun bidara diakhiri dengan air kapur baruh (semolek-moleknya 3 kali).

Orang yang berhak memandikan mayat

Orang yang lebih utama memandikan mayat ialah keluarganya (warisnya) yang terdekat jika ia pandai memandikan mayat, jika tidak keluarganya yang lebih dan beramanah walau macam mana sekalipun mayat lelaki hendaklah dimandikan oleh orang lelaki atau isterinya atau orang yang haram nikah dengan si mati, begitu juga mayat wanita hendaklah dimandikan oleh wanita atau suaminya atau orang yang haram nikah dengannya.

Jika ketiadaan mereka-mereka seperti ini ditayamumkan sahaja, seperti mayat perempuan tidak ada orang perempuan atau suaminya atau mahramnya begitu juga sebaliknya.

Setelah selesai mandi disalin kain basahan itu dan dilapkan tubuhnya dengan kain yang bersih.

Semasa menukar pakaian dan semasa memandikan, wajib dijaga jangan terbuka auratnya dan di tempat memandikan mayat sama ada bilik atau tidak hanya orang yang perlu sahaja boleh masuk kerana jaga aurat si mati dan seorang kerabatnya yang terdekat.

Fardu Kifayah yang Ketiga

Fardu kifayah yang ketiga wajib dilakukan ke atas mayat orang Islam ialah sembahyang iaitu setelah selesai kapan, mayat diletakkan di tempat yang suci atau di dalam usungan. Jika mayat lelaki kepalanya di sebelah kiri orang yang hendak sembahyang ke atasnya, dan kakinya di sebelah kanan mereka tersebut.

Dan jika mayat perempuan adalah sebaliknya dan diletak terlentang melintang kiblat di sebelah hadapan. Orang hendak sembahyang ke atasnya dan ditudung dengan kain yang bersih.

Rukun Sembahyang Mayat

Rukun sembahyang mayat tujuh perkara :

1. Niat sembahyang ke atas mayat.

2. Takbir Allahuakbar empat kali.

3. Berdiri betul bagi orang yang berkuasa.

4. Membaca Al-Fatihah selepas Takbiratul Ihram.

5. Berselawat ke atas Nabi SAW selepas takbir kali yang kedua.

6. Doa bagi si mati selepas takbir yang ketiga.

7. Memberi salam “Assalamualaikum warahmatullah” selepas takbir yang keempat.

Cara-cara sembahyang ke atas mayat

Mula-mula berdiri betul dan bertakbiratul Ihram “Allahuakbar” disertakan dengan niat iaitu jika mayat orang lelaki :

أُصَلِّي عَلَى هَذَا الْمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas ini mayat lelaki empat takbir kerana Allah Taala.

Jika mayat perempuan dewasa lafaz niatnya :

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ الْمَيِّتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas ini mayat perempuan empat takbir kerana Allah Taala.

Dan lafaz niat bagi mayat kanak-kanak lelaki :

أُصَلِّي عَلَى هَذَا الْمَيِّتِ الطِّفْلِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas ini mayat kanak-kanak lelaki empat takbir kerana Allah Taala.

Dan jika mayat kanak-kanak perempuan lafaz niatnya :

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ الْطِّفْلَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas ini mayat kanak-kanak perempuan empat takbir kerana Allah Taala.

Dan lafaz niat bagi sembahyang mayat yang ghaib :

أُصَلِّي عَلَى مَيِّتِ فُلاَنٍ بْنِ فُلاَنٍ الْغَائِبِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang mayat si anu anak si anu yang ghaib empat takbir kerana Allah Taala.

Jika mayat ghaib itu perempuan :

أُصَلِّي عَلَى مَيِّتَةِ فُلاَنَةٍ بْنِت فُلاَنٍ الْغَائِبَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang mayat si anu anak perempuan si anu yang ghaib empat takbir kerana Allah Taala.

Semua lafaz ini bagi sembahyang berseorangan, jika berimam sebut jadi imam atau mengikut imam mana yang berkenaan.

(اِمَامًا ِللهِ تَعَالَى)

Atau

(مَأْمُوْمًا ِللهِ تَعَالَى)

Jika mayat yang hadir itu ramai, lafaz niatnya :

أُصَلِّي عَلَى هَؤُلاَءِ الأَمْوَاِتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ ِللهِ تَعَالَى

Ertinya : Sengaja aku sembahyang di atas semua mayat ini empat takbir kerana Allah taala.

Jika seorang diri tetapi jika berimam sama seperti lafaz di atas tadi menyebut imam atau mengikut imam.

Selepas takbiratul Ihram baca surah Al-Fatihah dari awal hingga akhirnya, setelah habis Fatihah takbir kali yang kedua “Allahuakbar”

Selepas takbir ini berselawat ke atas Nabi SAW iaitu seperti :

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Dan sunat ditambah

كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْم وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ , وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ فِيْ الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَّجِيْدٌ .

Kemudian takbir kali yang ketiga, selepas takbir ini baca dengan doa bagi mayat seperti:

اللّهُمّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ. وَاعْفُ عَنْهُ.

Dan sunat menambah

وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ. وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ. وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثّلْجِ وَالْبَرَدِ, وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ. وَأَبْدِلْهُ دَاراً خَيْراً مِنْ دَارِهِ. وَأَهْلاً خَيْراً مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجَاً خَيْراً مِنْ زَوْجِهِ. وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَ مِنْ عَذَابِ النَّارِ .

Ertinya : Ya Allah ampunilah baginya dan muliakanlah tempatnya dan lapangkanlah tempat masuknya (di dalam kubur) dan mandikanlah dia dengan air salji dan air dingin (embun) dan bersihkanlah dia daripada kesalahan (dosa) seperti dibersihkan kain putih daripada kekotoran dan gantikanlah tempat yang lebih baik daripada tempat tinggalnya dan ahli (keluarga) yang lebih baik daripada ahlinya dan sahabat yang lebih baik daripada sahabatnya dan masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungkan dia daripada seksa kubur dan seksa neraka.

Ini lafaz doa bagi mayat lelaki jika perempuan semua ha’ dhomir ditukar kepada haa seperti :

اللّهُمّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا. وَاعْفُ عَنْهَا

Dan seterusnya kecuali :

وَفِتْنَتِهِ

Dikekalkan hi berbaris di bawah iaitu :

وَأَعِذْهَا مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَ مِنْ عَذَابِ النَّارِ

Dan jika mayat kanak-kanak lelaki doanya :

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطًا ِلأَبَوَيْهِ , وَسَلَفًا وَذُخْرًا وَعِظَةً وَاعْتِبَارًا وَشَفِيْعًا وَثَقِّلْ بِهِ مَوَازِيْنَهُمَا , وَأَفْرِغِ الصَبْرَ عَلَى قُلُوْبِهِمَا وَلاَ تَفْتَنْهُمَا بَعْدَهُ , وَلاَ تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهُ .

Dan doa bagi mayat kanak-kanak perempuan :

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهَا فَرَطًا ِلأَبَوَيْهَا , وَسَلَفًا وَذُخْرًا وَعِظَةً وَاعْتِبَارًا وَشَفِيْعًا وَثَقِّلْ بِهَا مَوَازِيْنَهُمَا , وَأَفْرِغِ الصَبْرَ عَلَى قُلُوْبِهِمَا وَلاَ تَفْتَنْهُمَا بَعْدَهَا , وَلاَ تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهَا .

Selepas itu takbir “Allahuakbar” kali yang keempat kemudia membaca doa :

اَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْ لَنَا وَِلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإِيمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلاًّ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Doa ini kepada mayat lelaki dan jika mayat perempuan dhomir berbaris hadapan di ganti dengan haa seperti :

اَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهَا وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهَا

Dan seterusnya.

Ertinya : Ya Allah, janganlah Engkau tahankan kami ganjaran pahalanya dan janganlah Engkau fitnahkan kami selepas kematiannya, ampunilah kami dan juga dia yang telah mati dan ampunilah saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan beriman dan jangan Engkau jadikan di dalam hati kami kebencian / kecemburuan terhadap orang-orang yang beriman sesungguhnya Engkau Maha Lemah-lembut lagi Pengasih dan Penyayang.

Doa ini sunat jua tidak rukun.

Kemudian memberi salam “Assalamualaikum warahmatullah” seperti lain-lain sembahyang jua iaitu disudahi dengan memberi salam.

bookmarks: edit post
0 Responses