Assalamualaikum wrt wbt.


Allahuakbar, hari ini terasa sungguh indah meskipun tidak sesenggang waktu semalam. Sejak dari pagi saya harus bergiat aktif melawan kuasa melatonin yang sememangnya super saiya kuatnya. Pulang daripada test drive PUISI [klik sini], saya menjalankan sesi blog hopping. Waktu berehat saya selepas menghabiskan nota microb itu ternyata menemukan saya dengan sebuah realiti yang sungguh menyayat hati. Allah, Allah, Allah. Rasa rugi jika tidak berkongsi. Catatan di bawah agak panjang namun cukup menarik dan membuka minda.

_____________________________________________________________________________________

Saya yakin ramai yang mengenali Tok Janggut. Tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu tentang kisah hidupnya? Kewujudan Tok Janggut dan perjuangannya pasti ada kaitan dengan nasib malang yang menimpa umat Islam seluruh dunia ketika itu, iaitu kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.

Cuba fikirkan, betapa selama ini sejarah kita telah diputar belit oleh zionis kuffar. Mereka berjaya mengalihkan pandangan seorang pelajar sekolah, bahawa perjuangan seorang Tok Janggut adalah kerana mempertahankan kuasa politik tradisional dan membantah cukai semata, sedangkan beliau sebenarnya mempertahankan Al-Haq! Malah mereka telah berjaya melabel dan menanamkan dalam pemikiran kita bahawa Tok Janggut adalah penderhaka dan pemberontak.

Zionis kuffar telah berjaya memanipulasi pemikiran umat islam di nusantara ini (baca: gugusan kepulauan melayu), bahawa tahap tertinggi dicapai bagi seorang Islam adalah apabila ia telah berjaya dan selesai mengerjakan haji ke makkah al-mukarramah. Pemikiran ini telah ditanam dari nenek moyang kita sehinggalah ke generasi hari ini. Walhal sebagai seorang muslim, ia wajib menjalankan tugas khalifah, iaitu memastikan seisi alam ini menyaksikan syahadah yang agung, Laa ilaaha Illallah, Muhammad Rasululullah. Itulah kemuncak ustaziatul ‘alam yang wajib dilaksanakan bagi seorang Islam. Dan Tok Janggut adalah antara figure yang cuba menjalankan kewajipan syahadah ini.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” [Surah Al-Baqarah, 2:30]

Di bawah ini disertakan bahan perkongsian yang dipetik dari laman web raykinzoku yang ditulis oleh Tengku Ahmad Zarir, seorang graduate dari Kinki University, Osaka.

Penulis asal berharap agar lebih ramai orang akan mengenali Tok Janggut bukan kerana gambar jasad beliau diperlakukan oleh Inggeris, tetapi kerana keberanian dan kematangannya dalam berjuang demi agama dan bangsa.

Tok Janggut …….
atau nama sebenar, Haji Mat Hassan bin Panglima Munas.
Syahid pada hari ini 24 Mei,
dalam perjuangan menentang penjajahan Inggeris,
di Jajahan Pasir Puteh, Kelantan,
93 tahun yang lampau ……
Al Fatihah …..

Dahulu, lebih kurang tiga tahun yang lepas, saya pernah mencatit satu entri khas berkenaan Tok Janggut.

Apa yang asalnya diniatkan sebagai satu catitan kasual, sebagai menyempurnakan hajat seseorang, telah dengan tidak semena-menanya mendapat tumpuan ramai sehingga sendat dengan ratusan komen menyatakan minat. Dalam banyak banyak komen yang saya perhatikan, tidak kurang ada yang menarik, yang menyebabkan saya merenung kembali kisah perjuangan Tok Janggut, contohnya seperti komen ini :

i am an amateur historian. thank you for the write up. your photos will be useful for those researching on Kelantan and its history. i had the privilege of meeting 2 of Tok Janggut’s grandson. they are proud their grandfather was a shahid. history has downplayed the extent and significance of the fight between tok janggut and the administrators then. it was a jihad of the muslims against the british rule.

Merenung kembali, memang benar sejarah kurang berlaku adil kepada Tok Janggut. Kisah perjuangan Tok Janggut, walaupun kini diabadikan dalam lembaran sejarah tanahair, disanjung dan diajar di sekolah, dirasakan seolah-olah masih atau sengaja dibiarkan tergantung. Tidak keterlaluan jika saya katakan, seolah-olah sama sebagaimana yang diperlakukan oleh Inggeris terhadap jasad Tok Janggut di Padang Bank.

Apa yang saya maksudkan dengan ” tergantung ” di sini adalah bila mana rata-rata sumber utama rujukan sejarah ( authorized sources ), dalam menghuraikan kronologi dan sebab musabbab kepada kebangkitan Tok Janggut, hanya mengutarakan faktor permasalahan cukai dan faktor kehilangan kuasa politik pembesar Melayu tradisional ( feudalisme ) sebagai punca.

Di sini, saya petik beberapa contoh dari huraian Arkib Negara Malaysia dan buku teks sejarah Tingkatan Lima sebagai bukti :

Campurtangan British di Negeri Kelantan pada awal abad keduapuluh telah menyebabkan berlaku beberapa perubahan dasar sistem pentadbiran di negeri tersebut.

Pihak British telah memperkenalkan sistem-sistem cukai yang baru yang bercanggah dengan kebiasaan rakyat tempatan dan telah melantik pegawai-pegawai untuk menggantikan tempat pembesar-pembesar daerah tradisional.

Kewujudan alat-alat pentadbiran dan campurtangan pihak British dalam pentadbiran Negeri Kelantan ini telah menggugat kedudukan pembesar-pembesar daerah serta menimbulkan kemarahan mereka yang selama ini memiliki banyak keistimewaan.

From :

184532791

* Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 ( KBSM ), Dewan Bahasa & Pustaka, Cetakan Keempat 2006, Percetakan Watan Sdn Bhd ( Nota : Perenggan berkaitan di ” highlight ” bagi memudahkan rujukan. )

Sebenarnya, apa yang dinyatakan oleh sumber sumber di atas tidaklah bersalahan dengan apa yang benar benar telah berlaku. Cuma, secara peribadi, menyampaikan kisah Tok Janggut dalam konteks perjuangan membantah cukai dan kehilangan kuasa politik tradisional, bukan sahaja mengabaikan butiran penting lain dalam kronologi kejadian malah dirasakan mampu memberikan implikasi negatif kepada perkembangan minda generasi muda. Seolah-olah menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari kelompok yang kedekut dan taksub dengan feudalisme. Apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan melalui huraian sedemikian ?

Sedar atau tidak, dengan pentafsiran sedemikian juga, kita telah berjaya menyempurnakan agenda penjajah Inggeris tanpa mereka sendiri perlu bersusah payah menyempurnakannya. Sejarah membuktikan bahawa penjajah Inggeris sememangnya mahu perjuangan Tok Janggut digambarkan sedemikian, kerana mudah bagi mereka melabel beliau sebagai penjenayah dan pengkhianat (tidakkah kita selalu diajar, membantah arahan pihak berkuasa adalah satu jenayah?)...

….dan sejarah juga membuktikan bahawa dengan menonjolkan Tok Janggut sebagai seorang penjenayah dan pengkhianat, mereka telah berjaya mengalihkan perhatian orang Melayu Islam dari memikirkan isu global berkaitan umat Islam yang sedang hangat ketika itu !

Laporan berikut, yang dipetik dari akhbar The New York Times, bertarikh 15 November, 1914, menjelaskan usaha awal Inggeris untuk memastikan orang Melayu terus terserkup di bawah tempurung :

17708716

Source :

Menurut laporan di atas, pada 14 November 1914, Sultan Kelantan ( Sultan Muhammad IV, 1900 ~ 1920 ), telah mengeluarkan jaminan taat setia kerajaan Kelantan kepada Inggeris ekoran Perang Dunia Pertama di Eropah.

Inggeris pada masa itu, sedang berperang dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang bersekutu dengan Austria-Hungary dan Jerman. Inggeris telah menekan pihak istana untuk mengisytiharkan solidariti bersama – tindakan yang mengecewakan Tok Janggut lantas memilih untuk bangkit sendiri menentang Inggeris …..

Tetapi mengapa Kelantan ? Mengapa Turki Uthmaniyyah !?

Perlu diingatkan bahawa pada masa itu, kerajaan atau empayar Turki Uthmaniyyah dianggap oleh kebanyakan umat Islam di dunia, termasuk juga di Kelantan, sebagai pelindung serta pemimpin ummah. Kebetulan pula di Kelantan, hampir keseluruhan penduduk adalah beragama Islam bermazhab Shafie ( dinyatakan di situ, ” Shaffa Mohammedanism ” ) dan kuasa politik adalah di tangan pemerintah beragama Islam ( walaupun di bawah pengaruh Inggeris ).

Walaupun demikian, itu bukanlah perkara yang paling dirisaukan oleh Inggeris. Inggeris lebih gusar dan khuatir akan hakikat hubungan dan pergantungan Kelantan dengan Timur Tengah dari sudut ideologi dan politik, yang telah berlangsung sejak berkurun lamanya. Ramai rakyat Kelantan berulang alik ke Makkah untuk menuntut ilmu, menunaikan ibadat Haji dan tidak kurang juga ada yang memiliki kepentingan di sana. Tok Janggut berada dalam kelompok ini, seorang terpelajar yang pernah menuntut ilmu dari Pattani hingga ke Makkah.Kebetulan juga, Makkah ketika itu merupakan wilayah Turki Uthmaniyyah, yang pastinya sedang marak dengan propaganda anti-Inggeris ketika Inggeris sedang berperang dengan Turki. Inilah yang dirisaukan oleh Inggeris.

Walau bagaimana pun, dalam hal ini, menyedari hakikat masyarakat Melayu yang amat mentaati Raja, Inggeris telah mengambil jalan memaksa pihak Istana untuk menyatakan pendirian yang selari dengan mereka, dengan harapan, kemarahan masyarakat Islam Kelantan terhadap peranan Inggeris dalam Perang Dunia Pertama dapat dikekang.

Namun, malang bagi Inggeris, jaminan yang diberi hanya bertahan selama lima bulan sahaja dan ” kekacauan ” ( disturbance ) yang dirisaukan telah benar benar berlaku di Pasir Puteh pada April 1915, di bawah pimpinan Tok Janggut ( antara sebab mengapa Tok Janggut diisytiharkan Inggeris sebagai ” pemberontak “ dan ” pengkhianat “ ).

Apa yang menarik, perkara yang paling dirisaukan Inggeris di Kelantan sebenarnya telah terlebih dahulu berlaku di Singapura, kubu kuat Inggeris di Asia Tenggara. Pada Februari 1915, askar upahan Inggeris dari India yang beragama Islam telah bangkit memberontak. Peristiwa berdarah yang dikenali sebagai Dahagi Singapura 1915 atau The 1915 Singapore ( Sepoy ) Mutiny ini, telah menyebabkan lebih kurang 50 orang Eropah terkorban. Puncanya, tidak lain tidak bukan adalah kerana peperangan Inggeris dengan Turki Uthmaniyyah, ditambah pula dengan fatwa berjihad yang dikeluarkan oleh kerajaan Uthmaniyyah. Dikatakan Tok Janggut telah mengikuti perkembangan pemberontakan ini lalu merancang penentangan di Pasir Puteh.

Biar pun segera ditumpaskan, kejadian pemberontakan ini begitu memalukan Inggeris. Mengambil iktibar, Inggeris telah mengambil langkah berjaga jaga dan malang sekali, penentangan Tok Janggut menyusul dua bulan selepas itu dalam keadaan Inggeris sudah bersedia. Akibatnya, Tok Janggut telah diganyang sedasyat dasyatnya oleh Inggeris dan ini dapat disaksikan melalui bagaimana jenazahnya diperlakukan di Padang Bank.

Mengenangkan apa yang telah dilalui oleh Tok Janggut, adalah dirasakan amat tidak wajar jika kisah beliau terus dibaca dalam konteks sedia ada ( penekanan kepada permasalahan cukai & kehilangan kuasa feudal ). Perhatian perlu diberikan kepada konteks yang lebih global seperti yang dinyatakan di atas – sesuai dengan keadaan dunia masa kini serta hakikat diri dan latar belakang Tok Janggut sendiri.

Tok Janggut sebenarnya bukanlah seorang jaguh kampung yang buta huruf. Beliau adalah seorang yang terpelajar, yang pernah mengembara menuntut ilmu dari Pattani sehingga ke Makkah. Kerana itu, rangkaian serta jaringan maklumatnya cukup baik. Beliau jelas tahu apa yang sedang berlaku di dunia ketika itu, khususnya nasib yang menimpa Dunia Islam – kecelaruan dan perpecahan yang melanda umat Islam angkara masalah dalaman dan penjajahan asing. Beliau juga sedar bahawa simbol kekuatan politik umat Islam tika itu, Empayar Turki Uthmaniyyah, sedang diancam dan cuba dihapuskan oleh Inggeris melalui Perang Dunia Pertama.

Kerana itu juga, Tok Janggut adalah seorang yang berfikiran GLOKAL ( yakni, a person who thinks globally and acts locally ). Ini dapat dilihat melalui keprihatinan beliau terhadap nasib Dunia Islam yang dipadankan dengan suasana setempat, yang kemudiannya ditafsirkan melalui penentangan bersenjata pada tahun 1915.

Sayang sekali, hakikat ini selalu sahaja tenggelam, samar samar atau langsung gagal dinyatakan dalam huraian kontemporari sejarah Tok Janggut, hingga menampakkan perjuangan beliau sebagai bercorak parokial ( kekampungan ) yang hampir tidak membawa apa apa makna.

BACAAN BERKAITAN

Nasron Sira Rahim, Berita Harian : ” Tok Janggut “

INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki itu dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.

Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.

Rujukan alternatif

Emmeline Tan, The Star Online ; November 24, 2007 : ” One Moment In Time “

The story of a Kelantanese rebel who fought against the British comes alive in the Tok Janggut Trail.

A declaration of jihad (holy war), an insurrection against foreign invaders, the death of a rebel leader and the parade of his corpse before it was hung upside-down in public as a warning – this is the story of Kelantan’s Tok Janggut.

SP Star : ” Penentangan di Kelantan “

Pengaruh luar seperti Perang Dunia Pertama dan Dahagi di Singapura pada tahun 1915 juga mempengaruhi penduduk Kelantan melancarkan kebangkitan terhadap pentadbiran British.

Orang Kelantan percaya British akan mengalami kekalahan dalam Perang Dunia I. Begitu juga apabila Dahagi meletus di Singapura pada tahun 1915. Penduduk Kelantan mendapat berita bahawa tentera India berjaya membunuh orang Eropah secara beramai-ramai. Kesannya, kejayaan Dahagi ini menyebabkan orang Kelantan tidak lagi menghormati orang Eropah sebagaimana sebelumnya.

Hasrizal Abdul Jamil : ” Hubungan Alam Melayu – Turki : Merentasi Sejarah “

Sebuah lagi catatan penting ekoran daripada gerakan Pan-Islam Sultan Abdul Hamid II adalah tercetusnya Dahagi Singapura pada tahun 1915.

Sehingga pada hari ini, sebab sebenar yang mencetuskan Dahagi tersebut masih belum didedahkan kepada umum kecuali dengan beberapa andaian yang berhasil semenjak beberapa tahun yang lalu. Ini berikutan daripada polisi Britain sendiri yang merahsiakan perkara tersebut.

Dahagi ini sebenarnya bermula ekoran daripada bantahan askar India dan Melayu Muslim daripada dihantar ke Timur Tengah bagi menyertai tentera Arab menentang pemerintahan Khilafah Othmaniah semasa Revolusi Arab 1916.

http://w3.spancity.com/yosri/DaftarT.htm

Tok Janggut

” Nama sebenarnya adalah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas.
Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan
Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya
dari segi pentadbiran.

Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan
pemimpin tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai
pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen
setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung. Pada 29 April 1915,
pentakbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff seorang
pegawai takbir British yang berasal dari luar Kelantan, menggantikan Engku Besar.

Pertelingkahan mengenai cukai dan urusan pengutipan cukai yang terlalu lambat
sehingga berlarutan selama tiga hari, menyebabkan Haji Mat Hassan bin Panglima
Munas enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib dan menemui Haji Mat Hassan bin Panglima Munas pada 29 April 1915.

Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh. Haji Mat Hassan bin Panglima Munas kemudiannya menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915.

Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Kebangkitan Haji Mat Hassan bin Panglima Munas menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu merasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Haji Mat Hassan bin Panglima Munas telah terbunuh. Mayat Tok Janggut di bawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari.

Setelah digantung beberapa hari di hadapan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) mayat Haji Mat Hassan bin Panglima Munas dikebumikan di Pasir Pekan. “

GAMBAR BERKAITAN

PADANG BANK, KOTA BHARU

Padang Bank di Kota Bharu 1930

* Poskad lama awal 1930an, yang memaparkan Monumen Perang Dunia Pertama dan Padang Bank di Kota Bharu. Imej ” dipinjam ” dari blog Northernmalaya. Turut kelihatan adalah bangunan Istana Jahar. Foto dirakam sekitar 1930an.

Tok Janggut

*dikatakan inilah mayat Tok Janggut. Ada yang mengatakan ini bukan mayat Tok Janggut tetapi adalah salah seorang pengikutnya yang terbunuh dalam peperangan bersama Tok Janggut, ada yang mengatakan British tersalah mengecam identiti Tok janggut. Bagaimanapun, ia tidak disokong oleh bukti yang kuat. Penulis asal percaya inilah jasad Tok Janggut.

tok janggut digantung

*Setelah gugur syahid di Pasir Puteh, jasad Tok Janggut telah dibawa ke Kota Bharu dan digantung songsang di khalayak ramai, di Padang Bank. Sebagai tontonan dan pengajaran kepada rakyat Kelantan yang terfikir untuk menentang Inggeris.

18384060jpg

* Monumen Perang Dunia Pertama dan Padang Bank pada masa sekarang. Foto dirakam awal Jun 2008.

a-bilingual-description-on-tok-janggut-and-his-life-story-and

*diskripsi dwibahasa mengenai Tok Janggut dan kisah hidupnya.

17928662jpg1

17928663jpg1

* Keadaan makam Tok Janggut pada masa sekarang di Pasir Pekan. Foto dirakam pada awal Jun 2008. Kawasan di mana jasad Tok Janggut dikebumikan bukanlah tanah perkuburan. Beliau ditanam bersendirian, jauh dari orang lain, di dalam sebuah liang lahad tanpa nisan(sehingga seseorang membuat keputusan untuk meletakkan sesuatu di kuburnya)

9728273

*Penduduk tempatan mahukan Tok Janggut dihormati.

20020000827g1

* Tentera British bergambar. Tulisan di kaki mereka jelas menunjukkan Pasir Puteh 14-10-1915. Lebih kurang 5 bulan selepas pemberontakan yang mahsyur itu berlaku di tempat ini. Askar ini dihantar dari Singapore dan gambar ini membuktikan bahawa mereka masih berada di sana walaupun sudah berbulan berlalu sejak kematian Tok Janggut. Mungkin askar ini mahu berjaga-jaga dari pemberontakan yang mungkin berlaku oleh para pengikut Tok Janggut.

Sumber dari of Arkib Negara Malaysia ( National Archive ) search site.

Sumber : http://www.kongsiblog.com/2009/08/perjuangan-sebenar-tok-janggut/


____________________________________________________________________________________

Siapa Haji Mat Hassan?

Haji Mat Hassan lebih dikenali dengan nama Tok Janggut. Dikatakan beliau mendapat gelaran ini kerana janggut panjangnya. Bagaimana kalau aku katakan yang nama Tok Janggut ini sengaja dipopularkan berbanding dengan nama asal beliau kerana ia adalah SATU STRATEGI BRITISH untuk menenggelamkan atau menyembunyikan unsur-unsur jihad yang diperjuangkan oleh Tuan Haji. Sekadar pendapat peribadi.

Isu 1: Ada apa dengan haji?

Bilamana disebutkan nama seseorang itu bermula dengan Haji, contohnya Haji Wan, akan terbayang kepada kita wajah seorang pakcik yang tenang wajahnya, berkopiah, dan sedang senyum ke arah kita. Satu bayangan atau persepsi yang dirasai oleh semua orang tanpa perlu diajarkan kepada mereka. Kesamaan universal!

Mungkin ada yang kurang faham sejauh mana peranan Haji dalam kebangkitan masyarakat menentang penjajah. Untuk melihat impak Haji ini kita kena terjun dan menyelami situasi masyarakat nusantara pada ketika itu. Haji ketika itu dikenali sebagai satu fenomena! Fenomena Haji AMAT DITAKUTI oleh penjajah sehingga memaksa seorang orientalis yang tersohor, Dr. Christian Snouck Hugronje menjalankan satu penyelidikan khusus bagi mendalami amalan agama dan adat budaya masyarakat setempat.(Acheh)

Hasil dari penyelidikan Snock Hugronje, beliau mengatakan:

“Belanda tidak perlu takut kepada pengaruh Haji Indonesia kerana mereka hanya pulang dengan serban, iaitu symbol Haji semata-mata dan tidak semestinya bersikap benci kepada orang kafir. Tetapi jika mereka pulang dengan ilmu pengetahuan Islam sebagai satu cara hidup lengkap, termasuk politik maka kelompok haji ini mesti diawasi oleh pihak penguasa….”

Hebatnya pengaruh Haji ini sehinggakan British mengeluarkan arahan memaksa Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah perintah melarang rakyat (yang dikalangannya terdapat ramai ulama) menyokong kerajaan Turki Uthmaniyyah. Malah British juga memaksa mufti Kelantan ketika itu mengeluarkan satu surat sokongan menyokong kerajaan British dalam peperangan!

Ringkasnya kita dapat simpulkan yang nama Haji Mat Hassan itu sahaja sudah cukup untuk menggerunkan British ketika itu!

Isu 2: Cukai yang membebankan

Semasa dibangku sekolah dahulu, aku diajar yang kebangkitan Tok Janggut adalah disebabkan oleh cukai semata-mata. Sebelum pergi dengan lebih jauh lagi, syabas dan tahniah aku ucapkan kepada pihak kementerian kerana hari ini fakta tersebut telah diperbetulkan!

Sultan Mansur merupakan Sultan Kelantan yang memakai gelaran Sultan Muhammad III. Sultan Mansur merupakan seorang sultan yang taat beragama dan warak. Baginda termasuk umara’ yang mendampingi ulama. Antaranya adalah, Haji Abdul Malik Sungai Pinang, Tok Ku Syed Hakim@Syed Muhammad bin Syed Alwi, Imam Haji Nik Wan Daud, Imam Haji Abdullah, Imam Haji Mahmud Tuan Padang, Haji Muhammad Ta’, Haji Ismail Langgar, Haji Daud Kampung Menuang, Haji Taib anak Tuan Padang dan Haji Nik Abdul Rahman Dakwat. (Perhatikan kaitan Haji dan ulama!!!)

Sultan Mansur Syah telah menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang SYARAK dalam acara guaman sama ada jenayah ataupun mal. Selain perlaksanaan undang-undang hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta’zir ke atas orang-orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat.

Sesungguhnya, zaman Sultan Mansur merupakan suatu zaman gemilang dalam sejarah perundangan Islam dan kehidupan keagamaan rakyat negeri Kelantan. Daulat Tuanku.

Kelantan menerima pengaruh British yang bertindak sebagai penasihat semenjak tahun 1903 namun British terlibat secara lansung dalam pentadbiran Kelantan selepas 1910 setelah Kelantan membantah Perjanjian British-Siam 1909.

Campurtangan British dalam pentadbiran Sultan Muhammad IV menyaksikan British memperkenalkan peraturan baru. Antaranya adalah Sistem Pemilikan Tanah Torrens! Bilamana system ini diperkenalkan, secara automatiknya ia menolak undang-undang tanah tradisional Melayu.

Apa undang-undang tanah tradisional Melayu?

Nah, buka mata anda. Ketahuilah semua bahawa undang-undang tanah tradisional Melayu adalah undang-undang tanah ISLAM!!, iaitu berdasarkan prinsip ihya(usaha) dan thajir(tanda). Maka pengenalan system tanah baru sekaligus MENOLAK undang-undang Islam!

Sahabat-sahabat sekalian, kalau sekarang ini bilamana PAS menyuarakan keinginan untuk melaksanakan Hudud, kala itu sudah ada penyokongnya kerana mereka sudah tahu keberkesanannya. Apatah lagi reaksi masyarakat yang ketika itu sememangnya HIDUP di bawah perlaksanaan hukum Islam(Zaman Sultan Mansur), lalu tiba-tiba ingin dihapuskan! Maka ketahuilah sahabat-sahabat semua, perjuangan Tok Janggut dan kawan-kawan bukan setakat menentang cukai yang tinggi tapi yang lebih penting daripada itu adalah perjuangan MENENTANG PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!

Saat itu menyaksikan rakyat membantah cadangan British ini. Surat-surat bantahan dihantar oleh rakyat kepada pihak berkuasa. Salah satunya, datang dari penduduk Kampung Cherang Tuli. Kampung Cherang Tuli merupakan salah sebuah kampung yang terlibat dalam kebangkitan ini. Nah, lihatlah sendiri, penentangan ini BUKAN penentangan cukai semata-mata, tapi PENENTANGAN PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!

Isu 3: Kebangkitan peribadi

Terima kasih kepada Prof Nik Anuar Nik Mahmud di atas kupasan yang cukup menarik dalam isu ini. Mungkin ada yang mengatakan kebangkitan Haji Mat Hassan ini lebih bersifat individu, kebangkitan untuk meraih kepentingan sendiri semata-mata. Atau mungkin ada yang berpendapat pemberontakan ini hanya berpunca dari kekecewaan pembesar daerah mengenai kekuasaan dan kedudukannya.

Aku ingin bertanya:

Berapa usia Tok Janggut@Haji Mat Hassan ketika beliau memimpin penentangan ini?

Tok Janggut pada ketika itu berusia 65 tahun. Ulangan, 65 tahun. Apakah seorang yang sudah berusia sanggup melawan British yang sangat berkuasa itu atas dasar kepentingan diri semata-mata? Bukankah harga yang perlu dibayar dengan menentang British jauh lagi MAHAL berbanding harga cukai tinggi yang dikenakan!

Harga sebuah perjuangan!

Harga sebuah perjuangan?

Sahabat,

British punya angkatan tentera yang tidak usah dicerita akan ramainya. Punya puluhan kapal-kapal perang yang sedia membedil mereka-mereka yang membuat angkara.

Tapi mereka yang memberontak di Pasir Puteh ini memiliki apa?

Mereka tidak ada kapal perang.

Mereka tidak ada bedil-bedil atau senapang-senapang secanggih askar British.

Mereka tidak punya angkatan tentera yang ramai.

TAPI MEREKA MEMILIKI SEMANGAT JIHAD FISABILILLAH!!

Semangat inilah yang dibuktikan oleh Khatib Abu Bakar yang berdepan dengan tentera Inggeris berbangsa Sikh tanpa rasa gementar dan takut sedikit pun. Beliau hanya bersenjatakan sebilah golok!

Isu 4: Pemberontakan reaktif

“Pemberontakan di Pasir Puteh ini adalah sebagai satu respon di atas tindakan British yang kurang ajar. Ia hanya bersifat lokaliti semata-mata dan tidak tersusun.”

Aku MENOLAK pendapat ini atas beberapa alasan:

1. Seruan Jihad

Shaykh-al-Islam, Khayri Effendi telah mengeluarkan fatwa Jihad-I Ekbar Fardi Ayn terhadap Britain dan sekutu-kutunya pada 14 November 1914. Sebagai reaksinya, British telah mengeluarkan enakmen MELARANG akhbar-akhbar tempatan dari menyiarkan berita mengenai peperangan antara British dengan Turki Utmaniyyah pada 21 November 1914. Pemberontakan Tok Janggut adalah pada 1915.

Jadi macam mana seruan jihad ini boleh sampai di Tanah Melayu? Pertama-tamanya, mari kita melihat siapa itu Haji Mat Hassan.

Tahukah anda Haji Mat Hassan pernah menuntut di Mekah dan berguru dengan Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani. Haji Mat Hassan pulang dari Mekah pada tahun 1910.(Rujuk tulisan atas untuk melihat apa yang terjadi di Kelantan pada 1910)

Siapa Syeikh Wan Ahmad? Beliau merupakan guru kepada hampir seluruh ulama nusantara ini! InsyaAllah aku akan mengupas berkenaan Syeikh Ahmad ini. Ringkasnya Syeikh Ahmad ini merupakan pengasas kepada persatuan orang Melayu iaitu Jami’yatul Fathaniyah di Mekah dan dilantik oleh Sultan Abdul Hamid II sebagai Ketua Jawatankuasa Percetakan Kerajaan Othmaniyyah. Malah beliau juga dianugerahkan kerakyatan Uthmaniyyah pada 1889.

Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani –> Tuan Haji Mat Hassan

2. Sebelum pemberontakan di Kelantan ini, telah berlaku beberapa siri pemberontakan:

1833, Vietnam(Champa) - Gerakan pembebasan oleh Katip Sumat. Tidak kenal Katip Sumat? Mari aku terjemahkan. Katip Sumat ini adalah nama yang telah mengalami evolusi, asalnya Katip Sumat ini merujuk kepada Khatib Abdul Samad!

Akhir abad ke-19, Indonesia - Cetusan gerakan kesedaran Gerakan Pan-Islamismee oleh Konsul Sadik Bey dan Duta Muhammad Kamil Bey.

1915, 15 Februari, Singapura - Askar-askar Indian Muslim dari pasukan 5th Light Infantry, di bawah pimpinan Haji Nur Alam Shah, Imam Masjid Kampung Jawa telah memberontak sebagai menyahut seruan jihad Turki Uthmaniyyah.

Sebenarnya 3 pemberontakan ini saling berkait antara satu sama lain. InsyaAllah akan aku ulas di tulisan yang akan datang.

3. Pemberontakan Singapura

Pemberontakan di Singapura menjadi topik perbincangan orang-orang Melayu di Kelantan. Calvert Wells, seorang pegawai British di Kelantan mencatatkan:

“…the Malays in Pasir Mas were said to be discussing the Singapore mutiny before the news was known to the Kelantan Government.”

4. Usaha British

Selain dari memaksa Sultan mengeluarkan titah untuk menangkap Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya, British juga mengarahkan kapal H.M.S Calmus mengawal Kuala Semerak. Mengapa harus mengawal perairan? Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghalang bantuan asing tiba.

Bantuan asing itu merujuk kepada siapa? Fikir-fikirkan!

5. Waktu pemberontakan berlaku

Pemberontakan yang dipimpin oleh Tok Janggut ini berlaku pada bulan April. Apa yang uniknya bulan April ini?

Kebiasaanya, pada bulan April, padi telah dituai. Masyarakat pada bulan ini dan beberapa bulan seterusnya hanya melakukan kerja-kerja ringan seperti berkebun dan mengutip hasil-hasil hutan. Maka dengan kata lain, gerakan pada bulan ini tidak akan membantutkan perkembangan ekonomi masyarakat setempat! Adakah ini masih lagi belum menunjukkan ketersusunan gerakan ini?

6. Tok Janggut, seorang penganalisa

Cantiknya sewaktu pemberontakan ini berlaku, pentadbiran colonial di Kelantan sedang berdepan dengan beberapa masalah. Antaranya adalah masalah kewangan yang teruk sehingga menyebabkan gaji kakitangannya tertunggak beberapa bulan.

7. Sultan yang misteri

Walaupun dijelaskan yang Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah supaya rakyat Kelantan menyokong British, namun itu hanya dibuat atas dasar keterpaksaan. British tidak mempercayai Sultan Kelantan, lantaran itulah British bertindak mengerahkan askar mereka untuk menangkap Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya. Asalnya, urusan pemberontakan ini diminta diselesaikan oleh Sultan.

Sultan Muhmmad pernah mengatakan tentera Jerman mesti menang dalam peperangan dengan British. Tentera Jerman adalah sekutu Turki!

Malah, menurut Wells, ketika beliau sedang mengukur keluasan Sungai Kelantan dengan tujuan untuk membina stesyen kereta api di tebing sebelah Kota Bharu. Ketika itu, Sultan Terengganu mudik dari kuala ke Kota Bharu. Kapal Sultan Terengganu telah melanggar bot peralatan mengukur Wells dan salah satu bot yang digunakan terbalik meskipun Wells telah berusaha supaya kapal Sultan itu mengelaknya. Sultan Terengganu tersenyum sahaja ketika kapalnya bertindak demikian. Wells juga mengatakan yang Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu selalu bertemu dan kedua-duanya tidak menyukai British!

Nah, sudah terang lagi bersuluh akan keteraturan gerakan ini sebenarnya. Pernah dahulu aku menulis tentang Grand Design pemberontakan menentang penjajah. Maka artikel ini mengupas sedikit sebanyak mengenai Grand Design ini. Sesungguhnya gerakan menentang penjajah di Nusantara ini bukanlah gerakan yang semborono tanpa melibatkan perancangan yang teliti, cuma kita sahaja yang buta! Buta kerana sejarah kita ditulis untuk memenangkan satu pihak sahaja. Sejarah kita ditulis untuk mengagungkan pihak-pihak tertentu sahaja.

*Bahan-bahan rujukan yang digunakan:

1. Tok Janggut, Pejuang atau Penderhaka; Nik Anuar Nik Mahmud
2. Ulama dalam sorotan perjuangan kemerdekaan; Riduan Mohamad Nor, Mohd Fadhli Ghani
3. Keturunan raja-raja Kelantan dan peristiwa-peristiwa bersejarah; Abdullah bin Mohamed
4. Ikhtisar sejarah Kelantan; Abdul Razak Mahmud
5. http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/100-tahun-kewafatan-syeikh-ahmad-al.html
6. http://ulama-nusantara-baru.blogspot.com/2008/05/syeikh-daud-al-fathani-pengarang-ulung.html

Petikan dari http://blogs.iium.edu.my/junaidi/category/rencana/

bookmarks: edit post