Assalamualaikum wrt wbt.
Alhamdulillah hari ini terasa sedikit lapang. Kelas dibatalkan di saat-saat akhir ketika saya dan rakan memang sudah merancang untuk tidak menghadirkan diri. Bersyukur kerana kurang sedikit perasaan bersalah tidak ke kelas. Snow yang lebat semalam menggusarkan hati saya untuk keluar rumah hari ini. Sedikit serik dengan pengalaman 3 jam berjalan kaki dari Beaumont ke rumah. InsyaAllah masa di rumah harus diisi dengan sebaiknya, biar berbaloi tidak pergi ke kelas.
Usai solat isyak hari ini, seisi warga Rumaysa' berhalaqah dalam sesi tazkirah dan bacaan al-Mulk. Kali ini lebih istimewa daripada biasa kerana ramai ahli Rumaysa' yang berada di rumah. Alhamdulillah. Saat ini kami tekun menghabiskan bacaan buku Travelog Dakwah tulisan Prof. Mohd Kamil, seorang pensyarah di UITM Johor. MasyaAllah, benar sesuatu yang datang dari hati akan menuju tepat ke hati yang lain. Saya mencadangkan mereka yang mencari-cari bahan bacaan bagi mengisi masa senggang untuk membaca buku ini. Besar manfaatnya insyaAllah.
Setelah menghampiri bab ke-14 dalam buku ini, saya tertarik dengan sifat Prof tersebut meniti titik-titik perubahan dalam hidup. Beza benar orang yang dikurniakan kesedaran Islam kerana berfikir dengan mereka yang sekadar mengikut adat buday setempat yang mengamalkan Islam. Penceritaan Prof bermula dengan pemergian beliau ke tanah suci Makkah untuk menunaikan haji setelah beberapa kali bertangguh. Dari situ beliau membina diri menjadi seorang yang semakin baik dari hari ke hari. Subhanallah, kagum saya dengan semangat beliau mempelajari Al-Quran tatkala berusia 40 tahun.
Apa yang saya suka mengenai penceritaan Prof ialah ianya disampaikan dalam bentuk bersahaja dengan bahasa yang mudah namun terasa menyentuh jiwa. Tatkala bercerita tentang sembahyang Dhuha, beliau bercerita bagaimana staffnya menasihati beliau untuk melaksanakan solat Dhuha hingga membawa kepada pencarian lebih banyak ilmu tentang solat dhuha.
Berfikir - belajar - beramal - konsisten.
Saya sangat suka apa yang dibawakan oleh Prof tentang konsep ibadah. Bermula daripada seorang yang biasa-biasa, dia mampu untuk memperbaiki diri tanpa jemu hingga berjaya menulis buku yang InsyaAllah telah menyentuh hati ramai insan lain. Bermula daripada mendengar cakap-cakap orang tentang iktikaf di bulan Ramadhan, Prof tersebut berusaha setapak lagi untuk mengorek ilmu berkenaan iktikaf. Tatkala banyak halangan yang mendatang, Prof tersebut tabah melakukan iktikaf pada 10 malam terakhir di masjid~sesuatu yang sebelum itu asing baginya. Tambah indah bila mana Prof tersebut konsisten dengan amalannya hingga dia akhirnya kenal dengan setiap ahli jemaah yang datang untuk berqiam lalu solat subuh berjemaah di Masjid Negeri. Sesuatu yang menarik untuk kita hayati dan pelajari. Berfikir, belajar, beramal dan konsisten. =)
Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang mana Allah berfirman yang maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling Aku sukai yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Ku untuk mendekatkan dirinya kepada-Ku selain melakukan yang fardu, dan mereka sentiasa mengerjakan yang sunat sehingga Aku mencintainya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sesunguhnya orang-orang yang mengatakan: “Rabb kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. Mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan. (Al-Ahqaf:13-14).