Assalamualaikum wrt wbt.
Layout blog sudah diganti dengan warna yang lebih kelam(baca:elegant). Ini bukan kerana saya diselubungi kesedihan atau terasa suram,walaupun ada betulnya telahan itu. Sekadar saya mahu mencari semangat yang sekian lama diam dalam diri saya yang kini semakin pudar. Semangat yang positif. Saya selalu memandang sisi baik sesuatu perkara. Saya cuba mengorek setiap hikmah yang Allah bentangkan dalam ujian-ujianNya yang mendatang. Sekian lama bermastautin di kota Dublin ini, saya rasa semangat positif saya kian hilang. Apatah lagi tatkala cuti musim panas hampir tiba. Ini pola yang sama yang saya perhatikan setiap tahun. Mendekati cuti summer dan exam.
Saya tidak boleh terus begini saban tahun. Tidak sewajarnya saya jadikan pulang ke tanahair tatkala musim panas menjelang sebagai satu-satunya motivasi untuk saya melakukan yang terbaik di dalam exam musim panas. Bagaimana apabila sudah bergelar doktor kelak? Cuti mana yang mahu saya jadikan sebagai sandaran motivasi?
Saya harus kembali menjadi diri saya yang penuh dengan aura positif. Allah berjanji yang setiap kesusahan ada kemudahan. Bukan sekali, tapi dua. Jika Allah yang berjanji, mungkir adalah mustahil.
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Kepenatan yang saya lalui sekarang dek penangan mengemas rumah 3 apartment yang dihuni 12 orang,tidak akan Allah sia-siakan. Meskipun saya sendiri meragui keikhlasan saya berkemas,saya harus sedar. Rungutan tidak akan membawa saya ke mana-mana. Hanya mungkin menambah dosa daripada pahala. Pekerjaan yang tidak disertakan ikhlas bukan dikira ibadah. Lalu, bukankah sia-sia semua usaha sekiranya ganjaran yang diperolehi hanya di dunia? Benar, saya harus berubah. Menjadi manusia yang berjiwa lebih besar.
Ditinggalkan sahabat-sahabat yang pulang ke malaysia tidak lama lagi. Mengapa saya harus jadi begitu negatif? Saya juga akan menjejak bumi tercinta itu dalam masa kurang 2 minggu. Alhamdulillah dalam kesempitan wang, masih mampu membeli tiket Emirates yang berharga 600+euro itu. Ramai yang menanti kepulangan saya. Souvenirs sudah melimpah ruah di dalam luggage. Alasan apa yang saya gunakan untuk bersedih? Setiap hari mak akan menasihati saya dengan pelbagai kata-kata motivasi dan perangsang. Tidak terkesan langsung kah di hati?
Amalan ibadah sepatutnya saya pertingkatkan dari semasa ke semasa. Kenapa mutabaah amal yang terlekat di dinding sekadar menjadi perhiasan? Saya tidak sepatutnya jadi begitu sedih dan negatif kalau saya benar-benar menjadikan Al-Quran dan Allah sebagai sandaran.
O you who have believed, if you support Allah , He will support you and plant firmly your feet.
Lalu, saya bertekad untuk kembali menjadi diri yang lebih positif dan menyebarkan aura positif kepada orang lain. InsyaAllah, doakan saya.