Assalamualaikum wrt wbt.
Allah turunkan manusia ke bumi untuk dua tujuan utama. Beribadah kepadanya dan menjadi khalifah di muka bumi.
Khalifah ialah pentadbir bumi yang berusaha menegakkan hukumNya di muka bumi. Dalam bahasa mudah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Mungkin personaliti saya yang agak susah marah dan tidak pandai mengekspresi rasa kurang senang,maka saya menghadapi masalah besar untuk mencegah kemungkaran. Saya tidak lantang bersuara apatah lagi berani berdegar-degar menegur secara terbuka. Saya kerap mengambil pendekatan wait-and-watch atau tegur secara lembut.
Tapi kadangkala teguran lembut lebih mendatangkan mudharat dari manfaat. Mana ingin saya cari nilai ketegasan yang mungkin tersembunyi di sudut hati ini?
Benarlah, menyeru kebaikan itu jauh lebih mudah daripada mencegah kemungkaran.
Dengan menyeru kebaikan, kita mungkin akan dilabelkan sebagai 'orang baik'. Tapi sebenarnya 'orang baik' juga harus berusaha untuk mencegah kemungkaran. Apa yang lebih penting, Allah suruh kita menjalankan dua elemen tersebut, bukan dengan pilihan untuk dipilih.
Daripada Abu Said al Khudri r.a katanya, Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu,hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)
Allah, hilangkanlah rasa marah dalam hati saya kerana saya mahu menegur atas dasar kasih sayang.